Oleh: JJFIRDAUS
PASUKAN Malaysia bermula dengan langkah kanan dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 apabila berjaya mencatat kemenangan sulung 3-1 menewaskan Kemboja dalam aksi di Stadium Bishan, Singapura.
Gol skuad kebangsaan dihasilkan menerusi penalti Safawi Rasid, jaringan cantik Akhyar Rashid dan juga gol sulung antarabangsa untuk R.Kogileswaran cukup untuk memberikan tiga mata penuh sekaligus mendahului senarai Kumpulan B.
Ada beberapa perkara positif dan negatif yang boleh dilihat menerusi persembahan anak buah Tan Cheng Hoe ini dan ianya perlu diperbaiki jika mahukan rentak kemenangan berterusan apabila berhadapan Laos, Khamis nanti.
Bermain dengan jiwa
Antara perkara positif yang dapat dilihat adalah kesungguhan pemain-pemain bermain dengan jiwa. Kesemua pemain terutama pemain tempatan menunjukkan kematangan dalam aksi dan dilihat selesa bermain bola dan memahami tugas yang telah diarahkan jurulatih.
Akhyar Rashid layak bergelar pemain terbaik perlawanan apabila aksi lariannya berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dan dia juga berjaya menyumbangkan penalti dan satu gol individu yang cantik untuk menutup mulut para pengkritik.
Penjaga gol veteran, Khairul Fahmi Che Mat juga sangat cemerlang dan tenang menjaga gawang dengan beberapa aksi mantap walaupun terpaksa akur dengan penalti kontroversi yang sememangnya tidak diingini.
Selain dua individu ini, gandingan penyerang muda yang dimasukkan pada babak kedua juga cukup meyakinkan malah permainan menjadi lebih lancar selepas penyerang utama, Guilherme De Paula dikeluarkan.
Shahrel Fikri, Luqman Hakim, Kogileswaran, Mukhairi Ajmal dan Arif Aiman dilihat menambah sengat dan kelajuan permainan dengan kepantasan yang mereka miliki. Ini memberi gambaran kepada Cheng Hoe bahawa mereka sudah bersedia diturunkan sebagai kesebelasan utama.
Penampilan Luqman yang berpengkalan di Eropah tampil membawa teknik lebih berbeza dengan kelajuan larian, ketepatan hantaran bola dan bijak membuat keputusan sekaligus dia antara punca Malaysia mendapat gol ketiga.

Kredit juga harus diberikan kepada Cheng Hoe yang berjaya mengesan kekurangan bahagian tengah Malaysia dan segera mengeluarkan Junior Eldstal yang dilihat sedikit bergelut dan kemasukan Mukhairi Ajmal banyak merubah corak permainan skuad negara.
Perlu diberi perhatian
Aksi barisan pertahanan juga dilihat mantap walaupun sesekali melakukan kesilapan dan tidak lupa gerakan dan hantaran Syafiq Ahmad sangat berkesan dan menjadikan dia tunggak sebenar Harimau Malaya dalam perlawanan ini.
Namun begitu beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh jurulatih terutama aksi pemain naturalisasi Guilherme De Paula yang berterusan menjadi sebutan penyokong di media sosial.
De Paula dilihat masih gagal menyerlah sebagai penyerang tunggal dan aksi longlai dan malas yang ditunjukkan beliau mendapat kecaman dari penyokong tetapi Cheng Hoe pastinya tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini.

Safawi meskipun berjaya menjaringkan gol namun ketajamannya masih belum pulih seperti dahulu dengan mensesiakan beberapa peluang di hadapan gawang.
Apa pun berlaku, tiga mata pertama ini sangat penting buat skuad negara kerana ianya akan menjadi pemangkin untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan mengekalkan momentum kemenangan.
Add Comment