Bola Sepak

Hoki: No.8 tetap pencapaian membanggakan!


Pasukan hoki Malaysia menamatkan saingan di kelompok lapan terbaik Piala Dunia Remaja di India. Foto: FIH

PENCAPAIAN skuad hoki projek khas lelaki kebangsaan meraih tempat kelapan Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 di Bhubaneswar, India yang berakhir kelmarin seharusnya layak mendapat pujian.

Ini kerana skuad bimbingan Wallace Tan itu berjaya mencapai Indek Petunjuk Prestasi (KPI) ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang menyasarkan mara ke suku akhir sebagai antara lapan pasukan terbaik.

Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai berdasarkan hakikat skuad muda negara hanya mempunyai persiapan yang singkat disebabkan pandemik Covid-19.

Malah, tindakan MHC menghantar skuad remaja mengiringi pasukan senior menyertai Siri Jelajah United Kingdom pada Oktober lalu adalah satu langkah tepat sebelum turun menghadapi JWC 2021.

Pengurus pasukan remaja, I. Vikneswaran berbangga dengan kejayaan anak-anak buahnya walaupun persiapan yang singkat berbanding lawan-lawan dari benua Eropah yang lebih awal memasuki ‘fasa endemik’.

“Pencapaian ini tetap boleh dibanggakan kerana kita mencapai sasaran ditetapkan. Kita adalah negara terakhir yang keluar daripada fasa ‘lockdown’.

“Jadi, kita ada masa yang sangat singkat untuk lakukan persediaan. Kita cuma main lapan perlawanan sahaja sebelum JWC,” katanya.

MHC dan barisan kejurulatihan sudah tentu mempunyai idea serta perancangan untuk memastikan skuad projek khas ini akan lebih mantap pada masa depan berdasarkan aksi yang ditampilkan sepanjang JWC 2021.

Jika situasi Covid-19 semakin beransur pulih, langkah yang mungkin boleh diambil adalah menghantar pemain-pemain muda ‘berkampung’ lama di Eropah supaya dapat bermain banyak aksi persahabatan dengan kuasa-kuasa besar dari benua sana.

JWC bakal menjadi pengalaman penting buat skuad negara. Foto: FIH

Suka atau tidak, harus diakui skuad remaja negara masih belum dapat menyaingi standard pasukan-pasukan Eropah seperti yang terjadi sewaktu peringkat kalah mati JWC 2021.

Skuad negara tewas kepada Perancis di suku akhir diikuti kekalahan besar terhadap Belanda (klasifikasi lima hingga lapan) dan Sepanyol (penentuan tempat ke-7 dan ke-8.

Ini bagi memastikan skuad negara bersedia seampuhnya untuk meraih pencapaian membanggakan apabila menjadi rumah untuk edisi Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading