Bola Sepak

Kronos terus komitmen taja pakaian rasmi pengadil


Mohd Saifuddin (dua,kiri) menerima dokumen perjanjian penajaan rasmi pakaian pengadil dari Wai On.

KRONOS jenama sukan yang tidak asing lagi di negara ini meneruskan komitmen penajaa rasmi pakaian pengadil Liga Malaysia apabila meneruskan penajaan bagi musim 2022 hingga 2024.

Pengurus Besar Kronos Malaysia, Vincent Lai Wai On berkata, dia melihat kerjasama yang diteruskan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai peluang untuk mengukuhkan lagi jenama Kronos di dalam pasaran tempatan.

“Kehadiran FAM sebagai badan induk yang mengurus serta mentadbir arena bola sepak negara serta kepengadilan membantu Kronos untuk melebarkan lagi jenama Kronos di dalam kalangan penyokong bola sepak negara.

“Untuk barangan rasmi pengadil seperti jersi baharu yang dilancarkan pada hari ini, ia akan mula dijual di cawangan Kronos yang terpilih bermula bulan hadapan.

“Saya berharap menerusi kerjasama ini, ia dapat memeriahkan lagi sekali gus menaikkan martabat kepengadilan bola sepak di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil di Hotel Concorde, Shah Alam.

Majlis makan malam berkenaan dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ S. Sivasundaram, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, Presiden Malaysian Football League, Dato’ Ab. Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam serta Pengarah Kronos Malaysia, Tiew Cheng Tai.

Pakaian rasmi pengadil yang bakal digunakan pada musim 2022.

Sementara itu, Hamidin berkata, majlis makan malam penghargaan pengadil itu diadakan bagi menghargai sumbangan serta tenaga pengadil susulan kejayaan melaksanakan perlawanan di peringkat Liga Super 2021 dan Liga Premier 2021.

“Alhamdulilah, secara keseluruhan, prestasi pengadil serta penolong pengadil untuk Liga Super dan Liga Premier 2021 berada pada tahap memuaskan meski pun perlawanan musim ini namun ini bukan tiket untuk mereka berasa selesa.

“Untuk musim 2022, FAM telah bercadang unutk mewujudkan lebih banyak aktiviti-aktiviti membabitkan pembangunan dan pemerkasaan pengadil di pelbagai peringkat menerusi anjuran kursus termasuk seminar tahunan yang merangkumi ujian kecergasan,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Mohd Fusser Mad Sallih dan Mohd Junaidy Abd Samad telah dinobatkan sebagai Pengadil Kebangsaan Terbaik dan Penolong Pengadil Kebangsaan Terbaik bagi Musim 2021 manakala Nurul Ain Izatty Zainal serta Nur Akmal Anuar pula dinobatkan sebagai Pengadil Wanita serta Penolong Pengadil Wanita Terbaik bagi Musim 2021.

Selain itu, pengadil kelahiran Terengganu, Suhaimi Mat Hassan juga telah menerima penghargaan di atas sumbangan beliau pada aksi Final Piala Dunia Bola Sepak Pantai di Moscow, Russia pada Ogos lalu.

Beliau juga turut menerima sijil penghargaan bersara bersama tiga orang pengadil lagi iaitu Ku Alaudin Ku Muhammad, Ismadi Ibrahim, Busrah Eri dan Azman Ismail.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading