
Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA
KETUA pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menagih pengalaman beberapa pemain senior pasukan yang pernah beraksi pada saingan Piala AFF sebelum ini untuk membimbing muka baharu pada kempen kali ini yang berlangsung di Singapura bermula Ahad.
Beberapa pemain berpengalaman yang ada bersama skuad kebangsaan kali ini ialah kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Baddrol Bakhtiar, dan Khairul Fahmi Che Mat yang diharapkan dapat memberi nasihat serta tunjuk ajar seterusnya dapat menyuntik motivasi kepada pemain baharu sepanjang kejohanan diadakan.
“Saya harap beberapa pemain senior mampu memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada pemain baharu dan manakala muka baharu pula dapat cipta keserasian bersama skuad kali ini.
“Apa yang penting adalah senarai akhir 24 pemain yang dipilih ini mampu bekerja sebagai satu pasukan seterusnya memberi satu penanda aras yang baik buat pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas bersama pasukan ke Singapura, hari ini.
Mengulas keputusannya mengugurkan menggugurkan tonggak Kedah Darul Aman FC Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dalam skuad ini, Cheng Hoe melihat pemain sayap itu kurang pengalaman dan berharap prestasinya akan menyerlah pada masa akan datang dan dapat dipanggil semula menyertai Harimau Malaya.
Cheng Hoe sebelum ini kehilangan empat pemain yang terpilih dalam senarai awal 28 pemain iaitu dua tonggak tengah Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj dan Muhammad Akram Mahinan, penyerang Darren Lok (Petaling Jaya City FC) serta pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh (Johor Darul Ta’zim) yang disisihkan akibat kecederaan.
Kejuaraan Piala AFF dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Jan tahun depan dengan Malaysia selaku naib juara edisi 2018, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama penyandang juara Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.
Malaysia yang menyasarkan mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, akan memulakan kempen kejuaraan berdepan Kemboja, diikuti Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia pada 19 Disember dalam usaha muncul dua pasukan terbaik untuk layak ke separuh akhir.
Add Comment