
Oleh: AMMAR HAZIQ
BEKAS ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar mendedahkan negeri Kedah sentiasa dihatinya biarpun dirinya akan beraksi bersama kelab baharu, Sabah FC pada musim 2022.
Menurutnya, keputusannya meninggalkan Hijau Kuning itu akan memberi ruang kepada pemain-pemain muda lain untuk terus menyambung legasinya yang telah dicipta bersama pasukan tersebut sejak 16 tahun lalu.
“Kedah tetap di hati saya. Bukan wang ringgit menjadi ukuran, bukan masalah tunggakan gaji yang membuatkan saya berpindah pasukan tetapi biarlah saya sahaja yang tahu apa yang terpendam dan terbuku di hati saya yang tak semua orang akan faham.
“Kedah tetap di hati saya. Doakan yang terbaik untuk kita semua. Terima kasih Kedah untuk 16 tahun bersama. Terima kasih penyokong dan pengurusan pasukan Kedah, tanpa anda tiadalah saya,” tulisnya di Facebook pada malam Khamis.
Jelas Baddrol, penghargaan juga turut diberikan kepada pengurusan pasukan dan juga seluruh penyokong Hijau Kuning kerana memotretkan kenangan bersama selama 16 tahun.
“Saya akui di awal musim ini, saya menerima kritikan yang amat hebat sehingga segelintir penyokong mahukan saya untuk keluar dari Kedah.
“Saya terima kritikan dengan positif dan memberi yang terbaik di setiap perlawanan untuk pasukan kerana hasrat di hati saya dan pasukan hanya ingin melihat pasukan ini sentiasa berjaya dan di puncak. Alhamdulillah Kedah ke AFC,” ujarnya.
Pada Rabu Cakap Sukan melaporkan kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar mengambil keputusan untuk tidak bersama pasukan tersebut selepas 16 tahun menabur bakti bersama Hijau Kuning.





Add Comment