Bola Sepak

Perlawanan Amal Yakult All Star dan Harimau Pekak Malaysia sasar kutipan RM300 ribu


Hamada bersama-sama penaja utama bagi perlawanan persahabatan Yakult All Star

KUTIPAN dana RM300,000 disasarkan pada perlawanan amal antara Pasukan Yakult All Star dan Harimau Pekak Malaysia untuk dana membantu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) menjayakan program pembangunan sukan mereka tahun depan.

Perlawanan amal terbabit adalah cetusan idea Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang menjelaskan program itu bakal menjadi acara tahunan pihaknya dan akan turut memperluas sumbangan kepada badan sukan yang lain pada masa akan datang.

“Kami berharap dana yang dikumpulkan ini dapat menolong Pasukan Harimau Pekak Malaysia untuk membuat persediaan dalam perlawanan tempatan dan antarabangsa.

“Harimau Pekak Malaysia kini berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik dunia dan menduduki tempat keenam di Asia Pasifik (2018) serta kedua di ASEAN (2016) untuk sukan bola sepak pekak.

“Saya menyeru supaya jangan lepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai bagi menyaksikan perlawanan amal yang julung-julung kali diadakan ini.

“Anda juga boleh menyumbang kepada dana amal ini melalui pembelian tiket Raffle ataupun menyumbang ketika sesi lelongan barangan sukan yang akan dijalankan pada 11 Disember nanti.

“Penyumbang tertinggi akan memiliki barangan sukan yang mempunyai autograf pemain pilihan anda,” kata yang memaklumkan Hamada perlawanan amal terbabit akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada pada 11 Disember.

Yakult All Star bakal dibarisi nama besar tempatan seperti Indra Putra Mahayuddin, Zaquan Adha Abdul Radzak, Syed Adney Syed Hussein, Baddrol Bakhtiar, Faiz Subri, Azmi Muslim, Shukor Adan, Norshahrul Idlan Talaha, Nurshamil Abdul Ghani, Razman Roslan dan Azmeer Yusof.

Turut bersama dalam Pasukan Yakult All Star adalah pemain lagenda bola sepak Jepun, Masashi Motoyama dan beberapa pemain Jepun yang beraksi di Liga Malaysia (Liga M) seperti Yuta Suzuki, Yuki Tanigawa, Akira Higashiyama, Shuhei Fukai serta Bruno Suzuki.

Kejohanan yang mendapat sokongan sepenuhnya dari Majlis Sukan Negara (MSN) ini turut menarik perhatian banyak syarikat terkemuka Jepun yang berada di Malaysia untuk menyumbang selaku penaja utama untuk kejohanan ini seperti Panasonic, Matsuoka Project, Ajinomoto, Mitsui & Co, dan Mitsui Fudosan.

Selain itu, terdapat 25 syarikat lain juga terbabit selaku penaja untuk kejohanan kali ini iaitu Pigeon, Kewpie, Nistrans, Arima Food Lab, Fujifilm, ChungHo, MOMA, Otafuku Sauce, Keris Sakti, Hibari Clinic, Tokio Marine, Sanggul Emas, MKM, Tang Kang Hai Transport, KDDI, Shakariki, Yakiniku Yui, Asahi Engineering, The Talent Engine, Mitsubishi Heavy Industries, Daikin, Sunstar, Fresh Life, Masco Office Supplies dan Sweetmag Solutions.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: