Bola Sepak

“Tidak sangka budak nakal dapat Ijazah Kehormat Doktor Sains”


Chong Wei menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Foto: FB LCW

Oleh: AMMAR HAZIQ

TOKOH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak menyangka dipilih untuk menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Upacara Konvokesyen ke-58 universiti pada Khamis.

Ijazah kehormat tersebut disampaikan Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada sidang satu di Balai Menghadap Hijau Istana Arau, Perlis.

Menurut Chong Wei, anugerah tersebut menjadi pemangkin semangat buatnya untuk terus menyumbang kudrat dan idea dalam arena sukan Malaysia terutamanya sukan badminton.

“Tidak pernah tersangka yang budak nakal tidak kuat baca buku ini boleh dapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan suatu hari.

“Ribuan terima kasih Chong Wei ucapkan kepada USM dan Canselor Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail. Chong Wei bertekad akan terus berusaha untuk menyumbang dalam arena sukan Malaysia, semampu yang boleh,” katanya yang dipetik melalui Facebooknya.

Tambahnya, ibunya menjadi antara individu yang paling gembira di atas pencapaiannya menerima anugerah tersebut.

Selain Chong Wei, turut menerima anugerah adalah Dr. David Lacey yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains, Datuk Dr. Asma Ismail FASC. (Anugerah Profesor Emerita); Dr. Zahri Ismail (Anugerah Profesor Emeritus) dan Khaw Teng Kang (hadiah pingat Emas Canselor).

Turut berangkat mengiringi Tuanku Syed Sirajuddin pada majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: