Bola Sepak

Arif Aiman sudah tidak kepenatan


Oleh : SUBKHI SUDARJI

SELEPAS tidak tersenarai dalam senarai awal pemain yang dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan mengharungi Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura ekoran masalah kepenatan, pemain muda Johor Darul Ta’zim, Mohd Arif Aiman muncul pada sesi latihan hari terakhir di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, hari ini.

Kemunculan pemain ini bagi menggantikan Mohamadou Sumareh yang gagal melaporkan diri disebabkan masalah peribadi dan kecederaan dialami selepas aksi finał Piała Malaysia 2021, Selasa lalu.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, dia mendapat perkhabaran bahawa Sumareh tidak dapat bersama kita kerana selepas urusan keluarga, dia mengalami kecederaan dan tidak dapat pulih dalam masa singkat.

“Jadi kita memanggil Arif dan kita gembira dia dapat bersama kita dalam skuad kebangsaan. Saya sempat berbual dengannya dan dia memang sudah bersedia untuk bersama kita.

“Apa yang penting adalah kita terus fokus pada perlawanan yang akan kita hadapi di Singapura nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, sebentar tadi.

Pada masa sama, Cheng Hoe turut mendapatkan khidmat penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz bagi menggantikan Azri Ab Ghani yang terpaksa diketepikan juga kerana masalah kecederaan.

“Azri mengalami kesakitan di bahagian bahu selepas kecederaan jadi kita mengambil langkah segera dengan memanggil Kalamullah.

“Dia pun sudah bersama kita sejak latihan pusat pada Oktober lalu dan dia adalah pengganti yang baik untuk Azri,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: