Bola Sepak

JWC: Malaysia perlu bangkit padam kekecewaan


Skuad remaja negara bakal bertemu Belanda bagi merebut kedudukan kelima. Foto: FIH

MALAYSIA perlu bangkit melupakan kekecewaan gagal ke separuh akhir Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 dengan menewaskan Belanda pada aksi klasifikasi lima hingga lapan di Stadium Kalinga esok (3 Disember).

Bagi memastikan ia tercapai, skuad projek khas lelaki kebangsaan perlu mengelak daripada melakukan banyak kesilapan seperti dilakukan ketika tewas 0-4 kepada Perancis pada aksi suku akhir semalam.

Dalam aksi itu, Malaysia menghadiahkan 11 pukulan sudut penalti menyaksikan Perancis memanfaatkan empat daripadanya untuk menghasilkan jaringan menerusi ledakan hatrik Timothee Clement dan satu daripada Mathis Clement.

“Persediaan kami terbatas disebabkan pandemik Covid-19. Kami telah melakukan yang terbaik tetapi hari ini Perancis lebih tajam dari segi pukulan sudut penalti,” kata kapten Malaysia, Akhimullah Anuar Esook kepada FIH.

Barisan kejurulatihan diketuai ketua jurulatih, Wallace Tan pastinya sudah mengkaji kelemahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya bagi memastikan mereka bersedia untuk menghadapi Belanda.

Pemain-pemain Malaysia cuba menghalang pemain Perancis. Foto: FIH

Belanda juga adalah satu lawan sukar dan turut mempunyai dua penyerang yang mampu menjaringkan gol padang seperti penjaring terbanyak kejohanan, Miles Bukken dan Brent van Bijnen.

Apa tidaknya, Bukken sudah berjaya meledak lapan gol padang dan empat pukulan sudut penalti, manakala Van Bijnen pula mempunyai lima jaringan padang daripada empat perlawanan mereka.

Benteng pertahanan negara diketuai penjaga gol, Che Shahrul Saupi Che Azmi pastinya sekali lagi bakal diuji dengan ketajaman Belanda yang sebelum ini membelasah Korea Selatan 12-5 dan Amerika Syarikat 14-0 di peringkat kumpulan.

Skuad negara tewas kepada aksi bertemu Perancis. Foto: FIH

Selain itu, Belanda juga sudah tentu mahu melepaskan geram selepas tersingkir ke peringkat separuh akhir disebabkan kekalahan tipis 1-2 kepada Argentina pada aksi suku akhir semalam.

Sebagai rekod, Malaysia baru sekali berjaya menewaskan Belanda sepanjang tujuh pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan sejak 1979 iaitu ketika menang 2-0 pada edisi JWC 1989.

Bagaimanapun, tiga pertembungan terakhir menyaksikan skuad negara kalah besar dengan keputusan 1-5 (JWC 1993), 2-7 (JWC 2013) dan 2-7 (JWC 2016).

Namun, tiada yang mustahil jika para pemain bermain dengan penuh disiplin tanpa melakukan sebarang kesilapan mudah seperti kejayaan mengikat naib juara edisi 2016, Belgium 1-1 ketika aksi peringkat kumpulan sebelum ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d