Komentar

Engkaulah Segalanya….Nikmatilah momen terakhir Piala Malaysia


Shukor (dua,kanan) pada sidang media pra perlawanan akhir Piala Malaysia 2021, semalam.

Oleh: MOHD FARIQ

SAYONARA LAGENDA

MALAM ini menjadi aksi terakhir buat pemain berstatus lagenda negara, Shukor Adan menjelang aksi final TM Piala Malaysia di antara Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sejujurnya penulis mengakui pengumuman yang dibuat kapten Kuala Lumpur City FC bakal meninggalkan karier pemain profesional itu semalam membuatkan penulis sedikit agak emosi.

Ini kerana memori penulis kembali mengimbau di saat pertama penulis membuat liputan anak kelahiran Melaka ini membuat penampilan di Liga Malaysia ketika menjadi tonggak pertahanan Negeri Sembilan di awal abad ke-21.

Namun antara prestasi Shukor yang sentiasa menjadi sebutan ketika pemain berusia 42 tahun ini menyarungkan jersi Selangor FC di mana skuad Gergasi Merah merupakan skuad paling lama iaitu enam tahun bermula 2002 beliau berkhidmat dalam kariernya.

Tidak perlu dinafikan lagi ketokohan dan kewibawaan bekas kapten Harimau Malaya ini.

Dalam aksi domestik, Shukor telah berjaya memenangi Piala Sumbangsih, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia manakala di peringkat antarabangsa, beliau telah menjulang pingat perak Sukan Asia, PestabolaMerdeka dan naib juara Piala AFF.

Justeru, pemergian salah satu pemain paling pengaruh di dalam arena dunia bola sepak tempatan bukan sahaja dikongsi pasukan dan penyokong sebaliknya barisan petugas media juga tidak dapat menahan sebak apabila bekas pemain ATM, Melaka United dan Felda United ini tidak akan lagi membuat penampilnya pada musim hadapan.

Bagi penulis, Shukor sememangnya layak diberikan penghormatan tertinggi pada malam final TM Piala Malaysia hari ini tidak kira samada beliau diturunkan atau tidak.

Ini kerana jasa-jasa Shukor bersama bola sepak negara cukup besar dan sebahagian besar daripada kalangan penyokong termasuk penulis berasa amat bertuah kerana sempat menyaksikan persembahan pemain berstatus legenda ini sepanjang menabur bakti di Liga Malaysia.

Seperti penulis katakan tadi, jika Kuala Lumpur City FC menamatakan penantian 32 tahun untuk menjulang kali pertama TM Piala Malaysia adalah menjadi satu bonus besar buat hadiah persaraan Shukor.

Namun jika Kuala Lumpur City FC tidak berjaya mengalahkan JDT sekali pun, Shukor tetap keluar dari gelanggang perlawanan sebagai pemenang kerana bagi penulis, negara akan sukar untuk mencari pengganti pemain pertahanan negara yang berkualiti, wibawa dan kepimpinan yang tinggi.

Akhir kata daripada penulis, terima kasih Shukor Adan. Terima kasih kerana hadir di dalam dunia bola sepak Malaysia dan kami tidak akan sesekali melupakan nama kamu.

Sayonara lagenda!


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: