Bola Sepak Komentar

Pengalaman di pentas akhir kelebihan JDT


Oleh: JJFIRDAUS/ Foto: KHAIRUL AKMA

PEMAIN-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak berdepan masalah besar untuk beraksi di final TM Piala Malaysia 2021 kerana majoriti pemainnya sudah pernah mengharungi aksi final dalam edisi sebelum ini.

Sebagai rekod, ini adalah kali keempat JDT layak ke final Piala Malaysia sejak penubuhan kelab pada 2013 dan Benjamin Mora mencipta sejarah menjadi pengendali pertama membawa JDT ke final sebanyak dua kali.

Berdasarkan senarai pemain yang diturunkan semalam beserta pemain simpanan, hanya empat pemain iaitu Bergson Da Silva, Shane Lowry, Arif Aiman dan Danial Amir sahaja yang belum pernah merasai bahang final.

JDT bakal ke Stadium Bukit Jalil 3 November ini berdepan dengan Kuala Lumpur City FC.

Namun begitu, Bergson yang sebelum ini bermain di Liga Serie A Brazil manakala Shane Lowry yang pernah beraksi bersama Leeds United pastinya mempunyai pengalaman yang cukup untuk tampil tenang di final kali ini.

Pemain muda harapan, Arif Aiman pula adalah pemain ‘regular’ dalam kesebelasan utama JDT malah pengalaman bermain di Liga Juara-Juara AFC sudah pasti memberikan beliau pengalaman untuk menyerap tekanan aksi perlawanan akhir nanti.

Arif Aiman pemain muda yang sentiasa menjadi pilihan dalam skuad utama.

Begitu juga buat Daniel Amir yang pernah muncul juara Liga Premier bersama kelab lamanya dan pernah beraksi di peringkat kebangsaan bawah 23. Final Piala Malaysia kali ini akan menjadi pentas terbesar beliau sekiranya disenaraikan oleh barisan kejurulatihan.

Pemain yang tidak disenaraikan semalam seperti ‘jeneral padang’, Leandro Velazquez bukanlah wajah asing dalam final Piala Malaysia malah beliau juga pernah beraksi dalam final Piala AFC bersama-sama Farizal Marlias, Aidil Zafuan dan S.Kunanlan.

JDT dengan ‘squad depth’ yang cukup bagus dan berpengalaman akan turun sebagai pasukan pilihan namun JDT sedar bahawa semua pasukan mahu mengalahkan JDT dan rekod lampau tidak boleh dijadikan ukuran di peringkat akhir.

Skuad Harimau Selatan juga dilihat bebas dari kecederaan dan penggantungan pemain kecuali Safiq Rahim yang dilayangkan kad merah akibat gagal mengawal emosi ketika di dalam padang.

JDT juga terkenal dengan pasukan yang menganggap setiap perlawanan umpama perlawanan akhir oleh itu intensiti yang bakal berlangsung pada perlawanan akhir nanti boleh dianggap sebagai permainan biasa yang sering mereka mainkan.

Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi bakal menjadi saksi pertembungan epik final TM Piala Malaysia pada 30 November ini. Mampukah JDT menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga dengan menewaskan Kuala Lumpur City FC? Tiada yang mustahil dalam bola sepak.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: