
Oleh: MOHD FARIQ
DI MANAKAH hala tuju Negeri Sembilan FC menjelang saingan Liga Super 2022 selepas dinobatkan Juara Liga Premier musim ini?
Itulah persoalan yang bermain dalam fikiran penyokong-penyokong tegar mereka.
Musim ini, Negeri Sembilan FC telah melakarkan kejayaan membanggakan musim ini apabila menamatkan penantian sembilan tahun tanpa sebarang kejuaraan apabila menjulang trofi Liga Premier 21 September lalu.
Lebih manis, kemenangan 4-2 ke atas PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekali gus meninggalkan pencabar terdekat, Sarawak United dan Terengganu FC II semasa persaingan merebut takhta Liga Premier ketika itu.
Apa yang pasti, kejayaan tersebut merupakan pelengkap kepada Negeri Sembilan selepas layak beraksi di Liga Super musim hadapan, malah trofi pertama skuad Hobin Jang Hobin sejak muncul juara Piala Sumbangsih 2012.
Namun selepas itu tiada sebarang khabar berita gembira yang kedengaran mengenai persiapan pasukan menjelang musim depan tetapi yang ada hanyalah keputusan penarikan diri dalam saingan Piala Malaysia selepas hampir keseluruhan pemain serta beberapa pegawai pasukan disahkan positif Covid-19.

Ketika beberapa pasukan lain khususnya Liga Super ghairah memancing pemain baharu dan pada masa sama berusaha mengekalkan barisan pemain sedia ada namun dalam kem Hobin Jang Hobin ini sunyi sepi umpama Subuh tetap menjelma walaupun tiada ayam berkokok.
Tarikh 30 November adalah detik yang merungsingkan buat pemain bola sepak apabila ia merupakan hari terakhir mereka bersama pasukan yang diwakili dengan kata lain kontrak yang tandatangani bagi tempoh satu musim akan berakhir.
Inilah yang berlaku dan Skuad Rusa apabila sehingga kini tiada sebarang perjanjian baharu ditandatangani pemain sedia untuk memastikan mereka terus kekal atau pun sebaliknya yang menimbulkan tanda tanya baik pemain mahupun penyokong setia The Jangs.
Malah ada beberapa pemain juga merupakan tonggak utama pasukan musim ini dikhabarkan telah mengeluarkan komen menerusi laman sosial mengenai hala tuju mereka pada musim depan selepas tiada sebarang perkembangan mengenai kontrak baharu yang ditawarkan pengurusan.

Peletakan jawatan Pengarah Kelab Bolasepak Negeri Sembilan FC (NSFC) Satwant Singh pada Isnin juga menghangatkan perkembangan semasa dalam pengurusan ketika ini yang dilihat masih berdiam diri.
Persoalannya kini adakah NSFC bersedia sepenuhnya mengharungi musim 2022 yang pastinya mencabar atau mereka sendiri terkejut dengan kejayaan melangkah bersama 12 pasukan terbaik dałam Liga Malaysia.
Sama-sama kita saksikan!
Add Comment