Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA
PEMAIN berpengalaman dan dianggap senior dalam pasukan Kuala Lumpur City FC, Indra Putra Mahayuddin memburu gelaran hatrik kejuaraan Piala Malaysia pada aksi final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Menjulang Piala Malaysia pada 2010 dan 2012 bersama Kelantan yang ketika itu juga dibimbing Bojan Hodak, pertembungan menentang juara bertahan Selasa ini merupakan pentas kelima buat dirinya.
Lantas Indra Putra yang kini menjengah usia 40 tahun dan kecewa selepas hanya menamatkan aksi selaku Naib Juara pada 2008 bersama Selangor serta 2009 (Kelantan), pemain yang sentiasa mesra dengan pengamal media ini mahu memastikan musim 2021 yang serba mencabar berakhir dengan kenangan paling indah menjulang Piala Malaysia.
“Tanpa diberikan perhatian dan menjangkakan mampu melangkah ke pentas akhir kami semua berjaya melakukkannya. Jadi memang menjadi impian semua pemain dan saya untuk menamatkan musim ini dengan kejuaraan Piala Malaysia yang pastinya kenangan paling indah.
“InsyaAllah saya yakin jika semua pemain memberikan komitmen sepanjang aksi akhir nanti, tidak mustahil kemenangan mampu diraih pasukan.

“Tunjukkan aksi luar biasa kerana Piala Malaysia adalah kejohanan yang berprestij tinggi dimana semua pasukan ingin menjulangnya selaku juara. Kita berusaha dengan sebaik mungkin dan beri tumpuan penuh, selainnya kita berserah kepada Allah,” katanya ditemui CAKAPSUKAN, selepas sesi fatihan pasukan di Stadium KLFA, Cheras pagi tadi.
Pemain berusia 40 tahun ini mula bermain secara profesional pada tahun 1998 bersama Perak dan pernah mewakili Kelantan, Selangor, Pahang, T-Team, Felda United telah meledak gol ke-100 pada saingan Liga Super pada perlawanan menentang PKNS FC pada April 2019 di Stadium Shah Alam,
Gol pertama beliau adalah pada Februari 2004 ketika menentang Sabah dan pada ketika itu bersama-sama dengan pasukan Pahang.
Mengulas kemungkinan aksi tegang yang bakal disajikan pada pentas akhir nanti, Indra Putra menganggap ia adalah lumrah dalam bola sepak terutamanya merebut gelaran kejuaraan.
“Dalam bolasepak kekerasan adalah sebahagian lumrah dalam bolasepak yang perlu dihadapi semua pemain selain bersedia dari segi mental agar tidak mengganggu tumpuan dalam permainan,” jelas yang muncul selaku penjaring terbanyak Piala Malaysia 2009 dengan 11 gol dalam 10 penampilan.
Add Comment