Bola Sepak

Arif Aiman, Lowry teruja debut final Piala Malaysia


Oleh: JJFIRDAUS Foto: KHAIRUL AKMA

PEMAIN sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, pertahanan tengah Shane Lowry dan Matt Davies tidak dapat menyembunyikan kegembiraan berjaya membawa JDT layak ke final TM Piala Malaysia buat kali pertama dalam karier mereka.

Menerusi video yang di muat naik di laman sosial rasmi Malaysia Football League (MFL), Arif Aiman menyifatkan ianya kerjasama berpasukan bagi memastikan mereka mencapai kemenangan dan layak ke final.

“Ini semua adalah kerja sepasukan. Semua pemain memberikan persembahan 100 peratus bagi memastikan kita menang dan seterusnya layak ke final. Ia sememangnya impian saya untuk ke final bersama JDT,” ujarnya.

Arif Aiman ketika aksi bertemu Terengganu FC.

Sementara itu, pemain yang baharu diikat awal musim ini dari Australia, Shane Lowry pula gembira kerana berjaya layak ke final pada musim pertama beliau bersama Harimau Selatan.

“Ianya sangat menakjubkan kerana berjaya layak ke final pada musim pertama saya di JDT. Kami akan fokus kepada latihan dan segalanya akan terjawab dalam beberapa hari akan datang,” ujar Lowry.

Sementara itu, teman sepasukan, S.Kunanlan juga gembira dengan persembahan pasukan dan menganggap kejayaan layak ke final dua kali berturut-turut adalah pencapaian terbesar buat JDT.

Kegembiraan para pemain JDT juga dapat dilihat menerusi video itu di mana Mohamadou Sumareh dilihat ‘menjalankan tugas’  sebagai wartawan dengan menemubual Matt Davies yang juga gembira kerana JDT kini dalam landasan untuk mencipta satu lagi sejarah buat kelab.

Aksi Lowry ketika bertemu Terengganu FC.

“Seperti biasa kami akan menganggap perlawanan ini sama penting seperti perlawanan-perlawanan sebelum ini dan kami hanya mahukan kemenangan,” tegas Matt.

Arif Aiman, Lowry dan Davies kini siap sedia untuk diturunkan dalam final Piala Malaysia pertama mereka tetapi pengalaman luas mereka di peringkat kelab dan negara pasti akan membantu mereka untuk beraksi dengan tenang.

JDT berjaya ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia yang dijadualkan pada 30 November ini selepas menewaskan Terengganu FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim untuk kemenangan aggregat 4-1.

Lawan mereka di final adalah pasukan Kuala Lumpur City FC yang juga mencipta sejarah layak ke final selepas 32 tahun menunggu dengan kali terakhir ke perlawanan akhir adalah pada tahun 1989.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: