Bola Sepak

Kuala Lumpur City FC ke final selepas 32 tahun


KUALA Lumpur City FC mara ke final Piala Malaysia 2021 sekaligus menamatkan kemarau 32 tahun di pentas akhir.

Kali terakhir skuad The City Boys ini layak ke saingan akhir pada tahun 1989 dengan merangkul trofi berprestij ini.

Saat bersejarah bagi skuad kendalian Bojan Hodak ini hadir selepas menewaskan Melaka United FC dengan penentuan penalti 5-3 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam ini.

KL City mara ke final menerusi penentuan penalti.

Selepas hampir sejam perlawanan tertunda pada masa sebenar (9 malam) gara-gara mengalami masalah elektrik, ia tidak menghalang wakil Lembah Klang ini mempamerkan aksi terbaik menerusi jaringan seawal minit ke-9 permainan menerusi J.Partiban sekaligus memberi kelebihan awal buat mereka.

Kelihatan pemain-pemain Melaka FC sukar untuk memecah benteng pertahanan lawan berikutan KL City FC menunjukkan disiplin tinggi menyukarkan hantaran tuan rumah dilakukan di kawasan depan gawang mereka.

Bersambung di babak kedua, pemain-pemain Kuala Lumpur FC bergerak bersama mengawal penyerang tuan rumah dengan langsung tidak memberi ruang kepada skuad Sang Kancil.

Namun ia tidak menghalang Melaka United terus membuat serangan menerusi penyerang sensasinya Sony Norde yang beberapa kali membuat pergerakan dan hantara berbahaya ke arah gol.

Minit ke-55 Stadium Hang Jebat bergema dengan sorakan penyokong selepas Syamim Yahya menyamakan kedudukan disebabkan kelapaan barisan pertahanan lawan.

Bagaimanapun sehingga tamat masa permainan sebenar, kedua-dua pasukan gagal mencari sebarang gol tambahan.

Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan bagi penentuan pemenang, namun kedua-dua pasukan masih lagi kebuntuan mencari sebarang gol yang menyaksikan langkah terakhir penentuan penalti.

KL City FC bakal berdepan dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: