Bola Sepak

JDT ke pentas final buat kali keempat dalam tempoh lapan tahun


Reaksi Cabrera selepas meledak gol kedua membantu kemaraan ke pentas akhir.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pentas final Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lapan tahun selepas menewaskan Terengganu FC, 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Bergelar naib juara pada 2014 sebelum menamatkan kemarau 25 tahun menjulang Piala Malaysia pada 2017 dengan kejuaraan, Harimau Selatan mara ke pentas akhir buat kali ketiga pada 2019 dan menamatkannya dengan noktah kejuaraan.

Keputusan seri 1-1 diraih ketika bertandang ke Kuala Terengganu, Isnin memberikan kelebihan buat anak didik Benjamin Mora dan kemenangan 3-0 malam ini memastikan mereka melangkah ke pentas final dengan agregat 4-1 mengatasi Terengganu FC.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada didepan menerusi penyerang import, Bergson da Silva pada minit ke-6 hasil rembatan kaki kirinya dari luar kotak penalti untuk menewaskan Mohd Suhaimi Husin.

Belum pun TFC sempat memperbaiki benteng pertahanan, giliran  Gonzalo Cabrera pula meledak gol kedua buat tuan rumah selang empat minit kemudian serta Bergson mencatatkan nama sekali lagi selaku penjaring pada minit ke-10 untuk kedudukan selesa 3-0 mengatasi pelawat.

Namun memasuki minit ke-15 nyata merubah tempo permainan JDT selepas bekas ketua pasukannya dan Harimau Malaya, Safiq Rahim dilayangkan kad merah kerana menanduk kepala Faisal Halim.

Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan anak didik Nafuzi Zain yang menemui rentak untuk mengatur gerakan memburu gol pertama buat TFC.

Pemain tengah TFC, Muhammad Zuasyraf  memiliki peluang menjaringkan gol namun rembatannya dari luar kotak penalti tersasar pada minit ke 21.

Begitu juga tolakan lemah pemain gantian TFC, Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-35 terus ke dakapan Farizal Marlias yang mengecewakan kira-kira 500 penyokong pelawat.

Sebelum tamat masa pertama, TFC seharusnya merapatkan jurang menerusi Jordan Mintah namun tampanan penyerang berkenaan yang mendapat hantaran dari Azarul tersasar dari gawang ketika Farizal sudah pun tertewas.

Kekurangan seorang pemain tidak melemahkan JDT apabila terlebih dahulu menguji benteng pelawat menerusi Bergson pada minit ke 55 namun tolakan penjaring gol pertama dan ketiga itu tersasar dari gawang TFC.

Pelawat terus mengasak benteng tuan rumah  bagi memburu gol namun kekebalan benteng tuan rumah menyebabkan impian Terengganu FC mengulangi pencapaian 2001 beraksi dipentas final tidak kesampaian.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: