Bola Sepak

Penaung baharu sasar bina KDA FC Training Centre tahun depan


Dr Mohd Daud bersama Muhammad Sanusi (kanan).

Oleh: AMMAR HAZIQ

PENAUNG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mensasarkan untuk membina KDA FC Training Centre pada tahun 2022 bagi mewujudkan fasiliti yang mampan, kejurulatihan yang beraras tinggi dan pemain yang cekap serta berkredibiliti.

Perkara itu antara yang digariskan beliau seiring empat paksi utama yang akan dibangunkan di kelab tersebut iaitu prestasi, kewangan, fasiliti dan komuniti.

Berkongi di Facebooknya, beliau berberhasrat untuk memacu jaringan pintar KDA FC dengan semua pihak dan pemegang taruh yang boleh membantu pasukan melonjak laju dan tinggi.

“Di antara fokus utama di tahun 2022 ialah menyediakan dana bagi membina KDA FC Training Centre. Sudah pasti ini akan menjadi pusat graviti bukan sahaja kepada KDA FC tetapi juga seluruh komuniti Kedah.

“Rancangan tempoh sederhana (2 -3 tahun) ialah membina stadium KDA FC sendiri. Saya ingin percaya KDA FC boleh pergi lebih jauh lagi dalam semua dimensi dan penyokong-penyokong Kedah juga terbaik,” tulisnya.

Mohd Daud diumum sebagai penaung KDA FC oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Khamis melalui hebahan atas talian media sosial.

Dr Mohd Daud bakal menumpukan empat paksi utama yang akan dibangunkan di kelab iaitu prestasi, kewangan, fasiliti dan komuniti.

Menurutnya, beliau terharu dan teruja dengan kepercayaan pihak Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Kedah kepadanya.

“Dalam ucapan Menteri Besar, beliau mengucapkan selamat datang kepada saya ke dalam satu bidang yang mencabar sambil beliau menoleh melihat ke arah saya.

“Saya amat faham makna dan maksud ungkapan ini. Saya amat sedar betapa mencabarnya bidang sukan khususnya bola sepak.

“Saya ingin mengambil cabaran nak memimpin KDA FC sebagai pasukan yang mempunyai kelestarian kewangan (dan pendanaan), fasiliti yang mampan, kejurulatihan yang beraras tinggi dan pemain yang cekap dan berkredibiliti di samping mantap tata kelola dan tadbir urus,” tulisnya lagi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: