Bola Sepak Komentar

“Selepas 18 tahun, saya kembali ke rumah saya sendiri”


Nidzam kembali ke ‘rumah’ sendiri selepas 18 tahun. Foto: FB Nidzam Jamil

EKSKLUSIF oleh: MOHD FARIQ

BAGAIKAN sirih pulang ke gagang.

Itulah peribahasa hampir sempurna untuk mengambarkan kepulangan Nidzam Jamil ke pangkuan Selangor FC sebagai penolong ketua jurulatih skuad utama bermula musim 2022.

Nidzam bukanlah satu nama asing buat penyokong fanatik skuad Gergasi Merah di mana bekas pengendali Felda United FC itu membuat debut bersama Selangor bertemu Kuala Lumpur pada 26 Mac 2000 dan melakarkan penampilan terakhirnya menentang pasukan sama pada tahun 2004.

Apa yang pasti kepulangan Nidzam menjadi titipan di bibir peminat tegar Selangor FC dengan mengharapkan sentuhan anak muda kelahiran Kajang ini sekurang-kurangnya dapat menamatkan penantian kemarau trofi selama lima tahun.

Bagaimanapun, jurulatih muda berusia 41 tahun ini tidak mahu cepat melatah di sebalik kepulangannya bersama skuad Gergasi Merah pada musim depan.

Berkongsi kepada CAKAP SUKAN, Nidzam menyedari tugas berat menanti di mana dia telah bersedia untuk menabur bakti kepada Selangor FC yang sentiasa menjadi jangkaan tinggi daripada penyokong-penyokong mereka.

“Setelah sekian lama selepas 18 tahun saya tidak ke Selangor FC, akhirnya saya pulang ke ‘rumah’ saya. Pertama, saya cukup teruja bersama pasukan saya sendiri selepas bermain di pelbagai peringkat usia dalam karier saya sebagai pemain satu ketika dahulu.

Nidzam kembali ke pangkuan Selangor selepas 18 tahun mencari ilmu dengan kelab-kelab lain.

“Sukar untuk saya melupakan kenangan manis bersama Selangor FC di mana saya membuat penampilan pertama yang ketika itu di bawah kendalian Datuk K Rajagobal dan saya tidak kembali ke pasukan ini sejak tahun 2004 sebelum saya mendapat tawaran ini (menjadi penolong jurulatih).

“Sudah pasti saya akan melakukan yang terbaik dan saya juga mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Selangor FC di atas kepercayaan mereka untuk jawatan ini. Ia bukan satu tugas yang mudah tetapi saya sudah bersedia kerana ini adalah ‘rumah’ saya,” katanya kepada Cakap Sukan.

Jelas lagi Nidzam yang menandatangani kontrak dua tahun bersama Selangor FC, dia tidak berdepan masalah untuk memberikan kerjasama dengan ketua jurulatih, Michael Feichtenbeiner yang turut dibantu penolong jurulatih, Karsten Neitzel.

Katanya, dia juga bersedia untuk berkongsi ilmu dengan jurulatih-jurulatih muda di Selangor League pada masa akan datang, lebih berminat untuk membantu skuad Gergasi Merah menamatkan kemarau trofi sebagaimana kali terakhir Selangor menjulang piala ketika memenangi Piala Malaysia pada 2015.

Nidzam pasti akan melakukan yang terbaik untuk Selangor FC. Foto: FB Nidzam Jamil

“Saya tiada masalah untuk berganding bahu dengan dua jurulatih dari Jerman dan mereka bukanlah baharu di dalam Liga Malaysia (Liga M). Mereka ada asas kefahaman di dalam bola sepak negara kita dan saya ingin mencurahkan segala pengalaman yang ada pada saya.

“Seperti saya katakan tadi, saya sudah lama tidak pulang ke ‘rumah’ dan saya harus memainkan peranan saya. Ini kerana saya tahu tekanan ketika menyertai Selangor FC dan peminat sentiasa dahagakan kejayaan selepas lima tahun kami tidak memenangi sebarang piala.

“Selangor FC adalah sebuah kelab yang sentiasa menjadi jangkaan tinggi peminat untuk memenangi piala dan itulah tradisi Selangor FC sejak daripada dahulu saya hendak mahu menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan lebih mustahak adalah membantu kelab ini pada musim baharu nanti,” ujarnya.

Pada usia 32 tahun, Nidzam merupakan antara jurulatih termuda yang pernah memenangi kejuaraan peringkat kebangsaan senior di Malaysia sebagai jurulatih, untuk KL SPA FC dalam Liga FAM Malaysia 2012.

Juga dalam kejohanan Piala FA Malaysia 2012,dia membimbing pasukan ke suku akhir di mana KL SPA FC telah menjadi pasukan pertama dari Liga FAM yang mencapai ke peringkat itu setakat ini.

Nidzam sedia berkongsi ilmu dengan jurulatih-jurulatih muda di Selangor League.

Nidzam juga pernah melatih AirAsia FC dalam Liga FAM dan membimbing pasukan Bola Sepak Universiti Malaysia dalam Universiade Musim Panas Sukan Universiti Dunia ke-29 di Taipei 2017.

Pada 2017, dia dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Felda United FC dan selepas B. Sathianathan meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan pada November 2018, Nidzam dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: