Bola Sepak

Prestasi pengadil: TFC serah kepada pengurusan tertinggi


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGURUS pasukan Terengganu FC (TFC) Zul Fadli Rozi menyerahkan keputusan kepada pihak pengurusan tertinggi sama ada untuk membuat aduan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau sebaliknya berhubung prestasi pengadil semasa aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia, Isnin lalu.

Baginya, seandainya ada aduan rasmi yang bakal dikemukakan ia pastinya lebih kepada cadangan penambahbaikan agar mutu pengadilan diberikan tumpuan bagi memastikan saingan Liga Malaysia terus mendapat perhatian dan sokongan.

“Aduan yang dikemukakan pastinya tidak akan merubah keputusan pada malam itu cuma kami mengharapkan pada-pada perlawanan akan datang bukan sahaja membabitan TFC tetapi kesemua pasukan dalam saingan Liga Malaysia,” jelasnya kepada CAKAPSUKAN.

Zul Fadli (kanan) sentiasa turun padang dan memberikan sokongan pada setiap kali latihan pasukan.

Pada masa sama, Zul Fadli tidak mahu isu ini menganggu persiapan pasukannya menjelang aksi getir di tempat lawan, Jumaat ini.

“Kita lupakan isu ini dan berikan tumpuan penuh menentang JDT ditempat lawan, sebagaimana sedia maklum mereka adalah pasukan hebat, tetapi kita akan terus memberikan saingan sehingga tamat perlawanan.

“Peluang tetap ada buat kedua-dua pasukan dan saya percaya pemain TFC akan berjuang sepenuh jiwa raga memburu tiket ke pentas final, 30 November nanti,” katanya.

Pada aksi pertama di Kuala Terengganu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dengan kelebihan jaringan gol ditempat lawan memihak kepada JDT.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: