Bola Sepak

Separuh Akhir Pertama: Melaka United bawa pulang kelebihan gol di tempat lawan


Oleh: JJFIRDAUS/ Foto: IZARI ROSLI

MELAKA United FC berjaya membawa pulang kelebihan gol di tempat lawan selepas mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin malam.

Gol dari sepakan percuma Adriano dan gol penyamaan oleh Zhafri Yahya memastikan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang sama rata untuk layak ke final.

Kedua-dua pengendali Kuala Lumpur City dan Melaka United mengekalkan kesebelasan utama yang sama ketika bertemu lawan masing-masing ketika di peringkat suku akhir.

Hujan lebat sebelum dan ketika perlawanan sedikit menjejaskan aksi kedua-dua pasukan apabila keadaan padang yang becak menyukarkan pergerakan bola.

Melaka United membuka tirai jaringan pada minit kelapan apabila sepakan percuma Adriano menerjah ke gawang Kuala Lumpur City dengan Kevin Mendoza hanya terpaku di atas garisan gol.

Tersentak dengan jaringan itu, Kuala Lumpur City kembali mengatur gerak dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi Zhafri Yahya yang menerima hantaran silang Paulo Josue.

Zhafri menyamakan kedudukan untuk KL City FC.

Melaka United juga mempunyai banyak peluang untuk menggandakan jaringan tetapi cubaan Sony Norde dan Manuel Ott digagalkan Mendoza untuk keputusan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan namun buntu untuk memecah benteng lawan walaupun beberapa pertukaran dilakukan untuk memantapkan barisan serangan.

Kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan dan pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat nanti pastinya menjanjikan pertembungan dramatik.

Dengan gol di tempat lawan dan dengan kehadiran penyokong, Melaka United pasti dilihat mempunyai kelebihan namun Kuala Lumpur City masih mempunyai 90 minit untuk membuktikan kemampuan mereka.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: