Bola Sepak

Pemain muda prolifik Arif Aiman intai final Piala Malaysia pertama


Oleh: JJFIRDAUS

TIADA siapa pernah menyangka nama Arif Aiman Hanapi akan menjadi sebutan penyokong bola sepak tempatan pada awal penampilannya bersama skuad Akademi JDT.

Falsafah bola sepak JDT yang menaikkan pangkat pemain yang berbakat dan menunjukkan kesungguhan ketika latihan menyaksikan pemain berusia 19 tahun ini kini menjadi prospek terbaik JDT dan negara.

Semua maklum bahawa bukan mudah untuk menembusi kesebelasan utama JDT. Pemain bertaraf bintang sekalipun tidak akan diberikan tempat jika tidak berjuang dan membuktikan kemampuan ketika sesi latihan.

Sesi latihan berintensiti tinggi yang dilakukan secara bersepadu antara pemain skuad utama dan skuad pembangunan nyata melahirkan bintang baharu yang menyinar dan boleh diketengahkan.

Arif Aiman Hanapi kini bukan sahaja menjadi pemain kesebelasan utama malah berjaya mengenepikan saingan Safawi Rasid untuk posisi sayap JDT. Kelicikannya di padang sering menjadi igauan buat barisan pertahanan lawan.

Arif Aiman meledak gol tunggal kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC pada akki suku akhir kedua Ahad lalu. Foto: JDT

Melakukan debut bersama JDT pada Mac 2020 ketika bertemu Felda United, dia tidak lagi menoleh kebelakang dan musim ini dia sudah beraksi sebanyak 25 perlawanan untuk JDT dalam semua pertandingan.

Selain itu, Arif Aiman juga muncul pemain termuda dalam sejarah JDT yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC dan aksinyadi pentas tertinggi kelab Asia itu dilihat sangat positif jika dibandingkan dengan umurnya yang pada ketika itu berusia 19 tahun, 1 bulan dan 18 hari.

Arif Aiman juga kini sudah menjaringkan tiga gol musim ini dengan jaringan tunggalnya pada perlawanan suku akhir kedua sudah cukup untuk menewaskan Kedah dan membawa JDT mara ke separuh akhir.

Kini Arif Aiman akan turun beraksi di pentas separuh akhir TM Piala Malaysia bertemu Terengganu FC dan dia pastinya mahu memberikan aksi terbaik bagi memberi kelebihan buat JDT untuk di bawa pulang ke Iskandar Puteri.

Arif Aiman, pemain muda berjiwa besar. Foto: JDT

Keputusan positif yang dicapai sekiranya berjaya menewaskan Terengganu FC pastinya akan membawa dia ke pentas final sekaligus cuba mendekatkan trofi kejuaraan pertama Piala Malaysia.

Pada usia 19 tahun, Arif Aiman sudah menjuarai dua gelaran Liga Super, beraksi di Liga Juara-Juara AFC dan kini mengintai peluang beraksi di final Piala Malaysia yang berprestij.

Arif Aiman membuktikan kerja keras dan kesungguhan ketika latihan membantunya menjadi pemain pilihan barisan kejurulatihan dan umur bukanlah ukuran untuk menjadi kesebelasan utama di JDT.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: