Bola Sepak

Hairiey akui teruja dan berdebar, “Coach Nafuzi berani guna pemain muda”


Oleh: SURYATI MOHD NOR

TAHUN yang baik buat pemain muda Terengganu FC Muhammad Hairiey Hakim Mamat yang bakal bersama kelabnya mengharungi separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Pemain pertahanan berusia 21 tahun kelahiran Kuala Terengganu ini antara bintang muda yang semakin meningkat.

Malah Hairiey juga antara pemain skuad Bawah 22 Tahun negara yang layak ke Piala Asia B-23 tahun depan.

Muhammad Hairiey Hakim Mamat

Menurut Hairiey, prestasinya tahun ini lebih baik kerana kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain.

“Syukur Alhamdullilah prestasi sekarang semakin meningkat. Ia disebabkan kepercayaan jurulatih yang berani mencuba pemain-pemain muda dan baharu.

“Dengan kepercayaan itu, saya mengambil peluang dan menggunakan sebaik-baiknya.

“Ternyata tahun ini musim yang sangat indah kerana berada dalam pasukan, bermain untuk Piala Malaysia,” kongsinya kepada Cakap Sukan.

Tambah Hairiey, pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok, membuatkan dirinya sedikit berdebar.

“Kita semua tahu JDT sebuah pasukan yang besar dan kuat. Tetapi saya yakin, kami (Terengganu FC) mempunyai jiwa lebih besar untuk berdepan dengan mereka.

“Saya harap kami akan mendapat keputusan yang baik pada aksi pertama ini,” jelasnya.

Terengganu FC mara ke saingan separuh akhir dengan bergaya selepas menewaskan Sarawak United FC secara agregat Ahad lalu.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: