Bola Sepak

Jordan Mintah tidak sabar bertemu JDT


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENYERANG Terengganu FC, Jordan Mintah mengakui tidak sabar untuk berdepan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dianggap mampu memberikan cabaran besar buat dirinya.

Meledak empat gol menyamai jaringan Bergson Da Silva di kem JDT dalam saingan Piala Malaysia ketika ini , Mintah melihat usaha keras pasukannya perlu diteruskan hingga ke pentas akhir.

“Saya sentiasa tidak sabar untuk bermain menentang JDT kerana ia akan menghadirkan cabaran besar sebagai seorang penyerang dan memang ini saya nantikan.

Mintah (kiri) dilihat serasi bergandingan dengan Faisal Halim dibahagian serangan.

“Berdepan dengan pertahanan lawan tiada masalah kerana saya yakin dengan kemampuan yang ada,” jelasnya.

Mengulas dua gol yang dijaringkan pada aksi di Shah Alam, Khamis lalu, keutamaannya kini adalah kemenangan buat pasukan.

“Saya gembira menjaringkan gol tetapi yang paling utama adalah kemenangan untuk pasukan dan itulah yang kami lakukan jadi saya gembira dengan keputusan tersebut.

” Sentiasa berasa yakin kerana apa-apa yang berlaku dalam hidup, Tuhan tahu yang terbaik untuk saya.

“Saya tahu JDT adalah juara bertahan tetapi ini piala yang kami idamkan dan bekerja keras untuk sampai ke tahap ini serta ke pentas akhir,” tegasnya yang turut mengharapkan sokongan dari peminat untuk memenuhi stadium, malam esok.

Pertembungan Terengganu FC dan JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu malam esok adalah aksi ketiga berturut-turut di pentas Piala Malaysia.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan pernah bertemu di peringkat sama pada 2018 yang menyaksikan Terengganu FC menang dengan agregat 3-2 manakala musim berikutnya, JDT menyingkirkan Terengganu FC di suku akhir dengan agregat 5-1.

Terengganu FC mengesahkan slot ke separuh akhir selepas tidak berdepan banyak masalah mengetepikan Sarawak United FC, 6-3 manakala JDT dipaksa bekerja keras sebelum atasi Kedah Darul Aman (KDA), 1-0.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d