Oleh: MOHD FARIQ
SEKARANG sudah ada empat pasukan yang telah menempah slot separuh akhir di mana empat pasukan tersebut adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Melaka United FC dan Kuala Lumpur City FC.
Bercakap mengenai persembahan keempat-empat pasukan ini, mereka dilihat memiliki objektif cukup jelas iaitu mahu memburu kejayaan paling bermakna iaitu menjadi juara Piala Malaysia bersempena ulangtahun ke-100 pada tahun ini.
Apa yang pasti, keghairahan mereka di dalam kempen Piala Malaysia jelas terpancar ketika masing-masing menyingkirkan lawan mereka dalam saingan suku akhir baru-baru ini.
Penulis percaya aksi TM Piala Malaysia 2021 bakal menjadi satu fenonema di mana penyokong-penyokong melihat keempat-empat pasukan memiliki peluang secara realistik layak ke pusingan final pada tahun ini.
Terengganu FC bertemu Johor Darul Ta’zim

SEJUJURNYA pada pandangan penulis, pertemuan Terengganu FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini semoleknya beradu pentas final TM Piala Malaysia 2021.
Melihat prestasi pasukan-pasukan ini, kedua-dua jelas menunjukkan keupayaan tersendiri sepanjang bermain di dalam kempen salah satu kejohanan tertua di Asia ini.
Terengganu FC – bagaikan melepaskan ‘amarah’ di dalam kempen TM Piala Malaysia untuk menebus prestasi mereka pada saingan Liga Super musim ini sebagaimana mereka ghairah untuk memburu slot ke Piala AFC 2022 selepas gagal mendapat slot tersebut secara automatik apabila menduduki tangga keempat liga.
JDT pula tidak perlu dinafikan lagi menjadi pasukan paling konsisten bukan sahaja di dalam kempen TM Piala Malaysia tetapi sejak beraksi di awal musim Liga Malaysia tahun ini.

Mereka telah berjaya menyingkirkan salah satu pasukan pilihan, Kedah Darul Aman FC 1-0 secara agregat pada pusingan suku akhir TM Piala Malaysia dan apa yang pasti, pertemuan JDT menentang Terengganu FC pada Isnin depan bakal menjadi bahan bualan dan epik sempena ulangtahun ke-100 TM Piala Malaysia nanti.
Kuala Lumpur City FC menentang Melaka United FC

PERLAWANAN ini juga sebenarnya bukan sahaja menarik minat tetapi mengejutkan ramai pihak sebenarnya memandangkan kedua-dua kemampuan kelab ini jelas berbeza daripada kempen Liga Super musim ini.
Pertama penulis mahu memberikan pujian kepada pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak yang turut tersenarai untuk kategori terbaik Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2021 di atas pencapaian Skuad Warga Kota pada tahun ini.
Secara peribadi, penulis menganggap Kuala Lumpur City FC layak untuk berada di tempat sekarang di mana mereka bukan sahaja berjaya merekodkan 20 perlawanan tanpa kalah ketika bermain di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sebaliknya melangkah ke pusingan separuh akhir TM Piala Malaysia dengan penuh bergaya dengan menyingkirkan musuh tradisi mereka, Selangor dalam saingan suku akhir baru-baru ini.
Cuma kejayaan menamatkan penantian selama 29 tahun mara ke separuh akhir TM Piala Malaysia dicemari dengan insiden penyokong menceroboh masuk ke dalam kawasan padang.
Semalam, Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan hukuman bahawa mereka bakal bermain tanpa penyokong untuk aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia disebabkan insiden itu.

Pertama, penulis memahami sentimen penyokong mahu meraikan Kuala Lumpur City FC tetapi kita juga harus memahami sensiviti pandemik Covid-19 yang sentiasa menjadi subjek serius daripada semua pihak terutama daripada pihak kerajaan.
Penulis berharap penyokong-penyokong semua kelab mengambil iktibar daripada insiden ini di mana sudah pasti kita tidak mahu kejohanan TM Piala Malaysia tidak menjadi ancaman dan dapat diteruskan memandangkan tahun ini merupakan ulangtahun ke-100 Piala Malaysia.
Sementara Melaka United FC, penulis agak terkejut mereka sedang berada di dalam landasan terbaik untuk menamatkan penantian selama 100 tahun untuk melayakkan diri ke laluan final TM Piala Malaysia.
Kali terakhir mereka layak ke separuh akhir pada edisi 1983 tetapi ketika itu mereka tumbang kepada Selangor.

Namun tahun ini, prestasi Melaka United FC yang layak ke separuh akhir selepas menewaskan Sabah di peringkat suku akhir di dalam kempen Piala Malaysia tampak berlainan apabila mereka mudah mengetepikan cabaran Kedah Darul Aman FC di dalam peringkat kumpulan.
Pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan jelas mempamerkan sesuatu kelainan dan Kuala Lumpur City FC dilihat menjadi halangan terbesar untuk merealisasi impian mereka untuk layak ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak kejohanan ini diperkenalkan pada tahun 1921.
Add Comment