Bola Sepak

Isu perpindahan Akhyar: KFA-JDT kembali ‘bertikam lidah’


Akhyar menyertai JDT pada 2019. Foto: JDT

TAMPAKNYA isu perpindahan bekas penyerang Kedah Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2019 kembali panas selepas kedua-dua pasukan berbalas kenyataan di media sosial pada Sabtu.

Ianya bermula susulan dakwaan Presiden Kedah FA (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai JDT tidak menjelaskan bayaran selepas menandatangani seorang pemain pada Jumaat.

Susulan daripada itu, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT Alistair Edwards tampil membuat penjelasan bahawa keputusan telah diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Yuran pembangunan pemain sebanyak RM75,000 perlu dibayar oleh mana-mana kelab yang menandatangani Akhyar Rashid selepas pemain itu menamatkan kontrak beliau dengan Kedah.

“JDT bersetuju untuk membayar lebih dan telah mengeluarkan sekeping cek kepada Kedah sebanyak RM100,000 pada 31 Disember 2018. Cek ini bagaimanapun telah dipulangkan oleh Kedah kerana mereka mahu membuat rayuan berkenaan perkara ini.

“Mahkamah Timbang Tara kemudiannya telah membuat keputusan bahawa yuran pembangunan itu tidak diperlukan dan membatalkan keputusan yang dibuat oleh FAM. Tidak ada keputusan selanjutnya atau tuntutan yang dilakukan Kedah terhadap JDT. Niat kami adalah jelas dan kami ingin menasihati Presiden Kedah FA yang juga Menteri Besar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas,” jelas Edwards dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Namun hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Zulkifli Che Haron pula membuat kenyataan mengenai isu ini.

“Saya ambil maklum berkenaan satu hantaran media sosial JDT, JOHOR Southern Tigers yang dikeluarkan oleh Alistair Edwards, Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim FC bertarikh 19 November 2021.

“Walaupun pertikaian di antara KFA dan Akhyar berhubung dengan kontrak pemain telah diputuskan dan selesai antara kedua-dua pihak, KFA masih lagi berhak untuk menuntut pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar dari JDT melalui Jawatankuasa Rayuan FAM.

“Kenyataan Alistair berkenaan KFA tidak perlu yuran pembangunan dan tiada tuntutan dari KFA, perkara ini adalah tidak benar sama sekali memandangkan berlakunya proses perbincangan dan KFA masih menunggu satu tawaran pampasan daripada JDT bersesuaian yang akan dipersetujui oleh kedua-kedua pihak.

“Setiap tindakan yang diambil oleh KFA berhubung perkara ini adalah berdasarkan kepada nasihat guaman. KFA akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari masa ke semasa.

“Saya menasihati Alistair supaya menyemak semula segala fail serta memahami setiap keputusan berkaitan dengan kes tersebut sebelum mengeluarkan kenyataan menuduh Presiden KFA membuat tuduhan tidak berasas terhadap JDT,” jelasnya.

Terbaharu, Edwards sekali lagi tampil membuat kenyataan susulan penjelasan yang dibuat oleh Zulkifli.

“JDT berasa terkilan dengan pertuduhan tidak berasas yang berterusan oleh Kedah FA, kali ini melalui Ketua Pegawai Kksekutif Zulkifli Che Haron yang menyatakan JDT masih berhutang dengan Kedah mengenai pampasan latihan dan pembangunan.

“JDT ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah diarahkan oleh mana-mana pihak untuk membayar pampasan atau duduk berunding selepas keputusan yang dibuat oleh makhamah timbang tara pada 9 Januari 2020 untuk membatalkan keputusan awal oleh Persatuan Bolasepak Malaysia yang mengarahkan untuk membayar pampasan latihan kepada Kedah.

“Sementara Kedah berhak untuk memulakan tuntutan baharu berkaitan pampasan latihan, ianya tidak masuk akal untuk mendakwa JDT tidak menjelaskan bayaran dimana JDT tidak diarahkan untuk membayar apa-apa pun oleh badan bola sepak mahupun pihak timbang tara setakat ini.

“JDT tidak diwajibkan untuk berbincang melainkan diarahkan oleh pihak yang berkuasa,” tegasnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: