Basikal

Sea Keong rangkul gangsa Piala Trek Asia 2021


Sea Keong (kanan) berjaya naik podium. Foto: FB Sea Keong

ATLET berbasikal berpengalaman negara Loh Sea Keong berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga pelumba terbaik dalam acara scratch lelaki elit pada saingan Piala Trek Asia 2021 di Suphan Buri, Thailand, pada Khamis.

Sea Keong, 35, meraih pingat gangsa selepas menamatkan perlumbaan sejauh 15 kilometer (km) di tempat ketiga di belakang dua pelumba Thailand Setthawut Yordsuwan dan Tullatorn Sosalam yang masing-masing merangkul pingat emas dan perak, demikian menurut https://atresults.wixsite.com/attiming/tac2021.

Pada masa sama, pelumba muda negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memenangi pingat perak acara kejar-mengejar individu kategori wanita junior yang disertai tiga pelumba sekali gus menyaksikan emas dan gangsa masing-masing menjadi milik Natthaporn Aphimot dan Sirinapha Jantpranodt dari Thailand.

Sementara itu, pada hari pertama saingan pada Rabu menyaksikan pelumba muda negara mencipta sensasi apabila Phi Kun Pan dan Nur Fitrah Shaari mendominasi kedudukan satu-dua acara perlumbaan mata kategori wanita junior dengan Nattanan Nontakaew dari Thailand di kedudukan ketiga.

Kejayaan itu disusuli dengan pencapaian Nurul Izzah yang merangkul pingat emas acara 500 meter ujian masa sekali gus mengetepikan cabaran Natthaporn dan Chanida Paiaran dari Thailand, masing-masing meraih perak dan gangsa.

Bagaimanapun, kejayaan sama tidak berjaya dilakar dalam kategori wanita elit selepas Syarifah Nuraisyah Syed Yusoff sekadar menamatkan acara scratch di kedudukan keempat daripada keseluruhan tujuh pelumba.

Dalam pada itu, cabaran Malaysia pada saingan yang berlangsung dari 17-21 Nov itu diteruskan dengan aksi Phi dan Nurul Izzah dalam acara scratch wanita junior pada Jumaat. – Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: