Basikal

Shah Firdaus fokus persiapan ke Kejuaraan Trek Dunia Oktober ini

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Aksi Shah Firdaus pada Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini. Foto: MSN

 

KEJOHANAN Berbasikal Trek Dunia di Perancis bulan depan bakal menjadi aksi terakhir pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom, di pentas antarabangsa sebelum menutup kalendar perlumbaannya tahun ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu berkata keputusan untuk beraksi pada perlumbaan itu dibuat, selepas berbincang dengan jurulatih John Beasley serta keluarganya di Muar.

“Memang kami tengah buat persediaan di Nilai untuk kejohanan itu yang dijangka diadakan pada 20 Oktober. Sebelum ini, saya masih berbincang dengan jurulatih, sama ada pergi atau tidak.

“Tetapi selepas balik jumpa keluarga, saya rasa baik saya pergi sebagai aksi penutup perlumbaan untuk tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan insentif kepada atlet Johor yang menyertai Sukan Olimpik dan Paralimpik di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad pada Selasa.

Shah Firdaus (dua, kiri) bersama atlet-atlet Sukan Olimpik dan Paralimpik kelahiran Johor menerima insentif penyertaan dan kemenangan  yang disampaikan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Muhammad pada Selasa. Foto: Bernama

Terdahulu, atlet kelahiran Muar itu menerima RM5,000 sebagai insentif penyertaan pada temasya sukan itu, yang disampaikan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Muhammad.

Muhammad Shah Firdaus, yang akan membuat penampilan ketiga pada kejohanan dunia itu bersama-sama rakan sepasukan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, dijangka berlepas ke Perancis pada 10 Oktober ini.

Ketika ditanya mengenai kecederaan dialaminya ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020, pelumba berusia 25 tahun itu berkata dia sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan.

“Luka-luka seminggu dua dah okay. Cuma hentakan hari itu ambil masa sebulan untuk pulih. Bila saya tarik nafas dan batuk, terasa sakit. Alhamdulillah, saya kini sudah 100 peratus pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk perlumbaan pada bulan hadapan,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus berkata dia tidak meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya bertekad untuk menampilkan kayuhan terbaik pada kejohanan itu.

Mengenai sesi latihan di Australia, pelumba muda itu masih menunggu pembukaan sempadan negara berkenaan yang masih ditutup sebelum menyambung latihan di sana. -Bernama


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: