Bola Sepak

Arif Aiman pacu JDT ke separuh akhir


Ariff Aiman meledak gol tunggal perlawanan suku akhir kedua menentang Kedah Darul Aman FC.

Oleh: AMMAR HAZIQ/ Foto: JDT

PEMAIN sayap muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanafi memacu pasukannya mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan  Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim Khamis malam.

Gol tunggal pemain tersebut muncul pada minit ke 40 hasil rembatan padu Ariff Aiman untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Shahril Shaari yang memanfaatkan hantaran Leandro Velazquez sekaligus memecahkan kebuntuan skuad Benjamin Mora memburu gol.

Juara Liga Super 2021 tersebut terlebih dahulu diberikan saingan sengit oleh pasukan pelawat pada awal permainan dengan menafikan beberapa peluang mereka untuk mendapatkan jaringan lebih awal.

Tuan rumah seawal minit ke-2 telah menguji gawang pelawat menerusi sepakan percuma Leandro namun berjaya ditepis keluar oleh Shahril.

Shahril terus menafikan usaha JDT untuk mendapatkan gol awal apabila menepis keluar percubaan Gonzalo Cabrerra pada minit ke-23.

Bagaimanapun, Stadium Sultan Ibrahim akhirnya bergema dengan kehadiran 16,209 penyokong pada minit ke-40 hasil sepakan padu Ariff Aiman menewaskan Shahril selepas memanfaatkan hantaran Leandro bagi meletakkan JDT FC 1-0 di hadapan.

Pada minit ke-43, penyerang tuan rumah, Guilherme De Paula hampir menambah satu gol lagi buat tuan rumah namun kecekapan Shahril sekali lagi menafikan percubaan terbaik pemain naturalisasi kebangsaan tersebut.

Pada separuh masa kedua bermula, skuad Aidil Sharin Sahak berusaha bangkit memburu gol penyamaan namun serangan yang cuba dilakukan oleh mereka berjaya dihidu dan dipatahkan oleh pasukan tuan rumah.

Pada minit ke-61, Leandro terus menguji gawang gol pelawat namun, Shahril sekali lagi menafikan percubaan pemain tersebut melalui sepakan percuma yang dihadiahkan di hadapan pintu gol.

Hijau Kuning terus berusaha untuk mengimbangi corak permainan Harimau Selatan namun keputusan 1-0 kekal hingga ke wisel akhir.

JDT FC seterusnya akan bertemu Terengganu FC pada separuh akhir selepas gergasi pantai timur itu menjinakkan Sarawak United dengan agregat 6-3 pada peringkat suku akhir.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: