Bola Sepak

Cikgu Asnan yakin KDA FC tak ‘goyang’ di Stadium Sultan Ibrahim


Oleh: AMMAR HAZIQ

KEDAH Darul Aman (KDA) FC bakal berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim dengan semangat juang tinggi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2021 pada malam esok (Khamis).

Pemain tengah sedang meningkat naik KDA FC, Asnan Ahmad memberitahu bahawa dia percaya pasukannya tidak akan ‘goyang’ di laman keramat juara Liga Super 2021 kerana bakal turut berdepan sorakan pasukan tuan rumah.

Jelasnya yang lebih dikenali dengan panggilan cikgu, ‘Hijau Kuning’ akan membawa semangat pada aksi suku akhir pertama pada 14 November lalu di Stadium Darul Aman untuk terus memberikan saingan sengit kepada gergasi bola sepak tanah air tersebut.

“Paling penting pada aksi suku akhir kedua ini adalah semua pemain KDA FC perlu mengekalkan disiplin dalam satu pasukan seperti yang berjaya dipamerkan pada Ahad lalu di laman sendiri.

Aksi Asnan ketika saingan suku akhir pertama bertemu JDT Ahad lalu. Foto: KDA FC

“Peluang buat kedua-dua pasukan untuk mara ke separuh akhir adalah 50-50. Sebagai seorang pemain profesional, seharusnya tidak gentar apabila turun ke stadium lawan dan perlu berdepan dengan sorakan penyokong lawan,” katanya semasa ditemui di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Pada aksi suku akhir pertama pada Ahad lalu, kelibat Asnan dan beberapa pemain muda KDA FC seperti Fazrul Danel Mohd Nizam mendapat pujian pegendali JDT FC, Benjamin Mora kerana mampu membantu tuan rumah mengimbangi corak permainan pasukannya.

Mengulas perkara tersebut, Asnan yang merupakan bekas ketua pasukan UiTM FC ini mengambil setiap komen yang diberikan untuk terus meningkatkan mutu permainannya bersama pasukan.

“Saya sangat gembira kerana kebanyakkan pemain KDA FC  di bahagian tengah adalah  pemain muda dan kami sentiasa membantu antara satu sama lain,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: