Bola Sepak

Bola sepak ialah Keluarga Malaysia – PM


Hamidin bersama Ismail Sabri dalam satu perjumpaan pada Isnin.

EKSKLUSIF Oleh: MOHD FARIQ

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu beliau merayu kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat-syarikat lain agar terus bersama memberikan sokongan terhadap sukan nombor satu negara iaitu bola sepak.

Hari ini (Isnin), Ismail Sabri telah menerima kunjungan delegasi yang diketuai oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Parlimen.

Mengulas lanjut secara eksklusif kepada CAKAP SUKAN, Ismail Sabri memuji kepimpinan Hamidin yang mengetuai FAM dalam era mencabar pandemik Covid-19 di mana survival bola sepak negara tidak terlepas berada pada tempoh kesulitan.

Jelasnya lagi, beliau berharap survival FAM itu akan disokong oleh syarikat-syarikat GLC dan lain-lain di mana Ismail Sabri optimis perniagaan di dalam suka bola sepak memiliki potensi cukup besar.

“FAM datang berjumpa dengan saya dan mereka telah memberikan laporan lengkap komprehensif di mana mereka juga ada menyatakan harapan supaya ada syarikat GLC dapat membantu FAM terutama bagi musim 2022.

“Jika diikutkan, dua tahun kebelakangan ini amat menyeksakan dan sekarang pun kerajaan hanya membenarkan separuh kapasiti stadium disebabkan kita mahu mengekang rantaian pandemik Covid-19. Apa yang pasti, pandemik jelas memberikan kesan kewangan kepada semua pihak dan bola sepak tidak terkecuali.

 

“Bola sepak adalah konsep Keluarga Malaysia dan saya menyeru sekali lagi semua sektor termasuk GLC kerajaan dapat membantu FAM. Ini kerana sukan bola sepak adalah sukan nombor satu dalam negara ini.

“Bola sepak telah menyatukan semua kaum dan saya merayu kepada semua sektor sama ada yang masih menaja atau yang keinginan untuk menaja tampil membantu bola sepak negara,” katanya kepada Cakap Sukan.

Sebagai rekod, rakan-rakan penaja yang masih bersama FAM adalah Bank Islam, Malaysia Airlines Berhad, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Marco Corporation (M) Sdn. Bhd (CASIO), Nike, Milo Malaysia, Sanctuary Health Sdn Bhd (Sanctband Active), Amforr Sdn Bhd (KELME) dan Elite Definition Sdn Bhd (Little Joe Malaysia).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: