Bola Sepak

Suku Akhir: Selangor FC gagal cari sebarang gol di laman sendiri


Oleh: JJFIRDAUS/ Foto:  MOHD KHAIRUL AKMA

PASUKAN Kuala Lumpur City FC membawa pulang kelebihan dua gol di tempat lawan apabila berjaya menewaskan Selangor FC 0-2 dalam perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Gol jaringan ayam tambatan, Romel Morales pada minit ke-14 dan Hadin Azman pada minit ke-82 cukup memberikan Kuala Lumpur City kelebihan menjelang pertemuan suku akhir kedua di Cheras nanti.

Romel Morales terlebih dahulu meletakkan KL City FC dihadapan apabila mudah menanduk masuk bola hantaran silang Zhafry Yahya selepas pertahanan Selangor bergelut untuk mengeluarkan bola dari kawasan sendiri.

Selangor cuba mengatur serangan tetapi pertahanan KL City berjaya mengekang asakan yang dijelmakan oleh Shahrel Fikri dan Danial Asri untuk kedudukan separuh masa pertama kekal 0-1.

Karsten Neitzel membuat beberapa pertukaran pada babak kedua memasukkan
Aliff Haiqal, Wan Zack Haikal dan Jordan Ayimbila serta George Attram untuk memantapkan lagi barisan serangan Selangor.

Gol kedua KL City FC hadir pada minit ke.82.

Percubaan Shahrel Fikri dalam kotak penalti KL City berjaya dihalang Kevin Ray Mendoza yang tenang menangkap bola bagi menafikan gol penyamaan Selangor.

Sepakan percuma Paolo Josue pada minit ke-71 hampir-hampir menggandakan jaringan buat Kuala Lumpur City tetapi sedikit tersasar ketika Khairul Azhan sudah pun tertewas.

Masuk minit ke-75, Bojan Hodak mula membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Hadin Azman, Anwar Ibrahim dan Arif Syaqirin bagi memastikan KL City berjaya mempertahankan kedudukan.

Ketika Selangor ghairah memburu gol penyamaan, satu serangan balas dari KL City berjaya membuahkan hasil apabila pemain yang baru masuk, Hadin Azman tenang menggegar jaring Selangor pada minit ke-82.

Gol itu nyata menggembirakan penyokong Kuala Lumpur City yang hadir dan kini boleh dikatakan selangkah ke peringkat separuh akhir apabila selesa mendahului dengan dua gol di tempat lawan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam suku akhir kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis untuk merebut tempat ke separuh akhir menentang sama ada Melaka United atau Sabah.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: