Oleh : JJ FIRDAUS
ULANGAN final Piala Malaysia 2019 ini pastinya menjadi tumpuan para penyokong kerana pertemuan dua kuasa besar ini biasanya akan menghasilkan perlawanan yang menarik dan sengit.
Johor Darul Ta’zim selaku juara bertahan pastinya mahu mempertahankan kejuaraan sekaligus piala ketiga mereka musim ini selepas berjaya menjuarai Piala Sumbangsih dan juga Liga Super.
Dengan rekod tanpa kalah 15 perlawanan dalam semua kejohanan, JDT pastinya mahu meneruskan rentak cemerlang ini dengan barisan anak buah Benjamin Mora kini berada pada tahap prestasi terbaik walau siapa pun yang diturunkan.

Mora melakukan eksperimen posisi 3-4-3 berbanding 4-4-3 yang seringkali digunakan dan nampaknya para pemain JDT mudah beradaptasi dengan formasi baharu ini dengan meledak 14 gol sepanjang peringkat kumpulan.
Barisan pertahanan JDT juga dilihat semakin mantap dengan kehadiran Shane Lowry dan ianya terbukti apabila mereka hanya bolos satu gol sahaja setakat ini itupun hasil kesilapan individu.
Kedah pastinya berhadapan laluan sukar kerana gagal menjuarai Kumpulan C dan anak buat Aidil Shahrin Sahak pastinya mahu menbuktikan bahawa skuad mereka layak untuk berada di peringkat suku akhir ini.
Kedah berjaya layak ke suku akhir kerana berjaya mendapat enam mata percuma ekoran pembatalan penyertaan pasukan Negeri Sembilan yang rata-rata pemain dan pegawai dijangkiti Covid-19.
LANG MERAH PATAH SAYAP
Tanpa Anumathan Kumar, Kpah Sherman dan Rabih Ataya yang mewakili negara mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia, Aidil Shahrin pastinya sudah mengenalpasti siapakah pengganti yang layak untuk mengambil alih tugas berat ini.
Mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri, Kedah perlu memastikan JDT tidak mendapat bekalan gol tempat lawan kerana ianya akan menyukarkan laluan Kedah pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim nanti.
Penyerang-penyerang JDT pula kini bagai mendapat tonik terbaharu apabila kesemua mereka berjaya menjaringkan gol dalam kempen Piala Malaysia sekaligus memberikan kelebihan kepada barisan kejurulatihan JDT dalam menentukan siapakah bakal menjadi penggempur utama.

Stadium Darul Aman pastinya kembali meriah dengan kehadiran semula penyokong Hijau Kuning yang rindukan suasana sorakan di stadium dan mereka pastinya akan disajikan aksi menarik dari kedua-dua pasukan.
Faktor cuaca, keadaan padang, prestasi pemain dan nasib akan menjadi penentu siapa yang bakal muncul pemenang suku akhir pertama ini. Menarik untuk kita saksikan. Selamat maju jaya kepada kedua-dua pasukan
Add Comment