Bola Sepak

Sabah FC bukan pasukan ‘underdog’ – Akmal


PERTAHANAN Melaka United FC, Akmal Zahir tidak menganggap Sabah FC sebagai pasukan ‘underdog’ kerana mereka mesti ada kekuatan yang kita tidak boleh ambil mudah.

Selain itu kejayaan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee  mencipta kejutan bangkit pada dua perlawanan terakhir untuk raih kemenangan sekali gus mara ke suku akhir juga membuktikan cabaran sengit bakal diterima di Stadium, Likas malam esok.

Namun baginya , apa yang pasti, Melaka United perlu membawa bekalan selesa untuk cuba meraih seberapa banyak jaringan di gelanggang lawan bagi lebih bersedia berdepan suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat.

Musim 2021 adalah pencapaian terbaik buat Akmal (kiri) selepas menjadi antara tunjang utama pasukan.

“Pastinya kami akan beri momentum yang sama berdepan Sabah dan kita tidak menganggap Sabah ini pasukan ‘underdog’ kerana mereka mesti ada kekuatan yang kita tidak boleh ambil mudah.

“Bagi saya, peluang itu terbuka untuk mana-mana pasukan, dan kami di Melaka United kena terus konsisten untuk memastikan pasukan tidak tersingkir kali ini.

“Insya Allah macam-macam mana pun, kita kena ambil kelebihan beraksi di tempat lawan untuk cuba raih gol sebanyak mungkin bagi dibawa pulang ke Melaka nanti”, tambahnya.

Pemain dari Kedah ini pernah bersama Melaka pada musim 2017 yang menyaksikan skuad itu berjaya mara sehingga ke suku akhir Piala Malaysia, namun kudratnya kurang digunakan berbanding pada musim ini apabila diletakkan dalam kesebelasan utama untuk empat perlawanan di peringkat kumpulan.

Musim 2021 adalah pencapaian terbaiknya selepas menjadi antara tunjang utama pasukan untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia 2021.

Nyata, Akmal berjaya memikat hati pengendalinya, Zainal Abidin Hassan untuk kerap kali diturunkan membantu pasukan selain mampu cipta gandingan terbaik bersama-sama Jang Suk Won di kubu pasukan.

“Saya pun tidak jangka sebenarnya apabila sentiasa diturunkan, cuma kalau saya dah dapat peluang itu, saya akan pastikan untuk memberikan yang terbaik.

“Boleh dikatakan ini adalah pencapaian terbaik untuk karier saya pada tahun ini dalam saingan tertinggi kalau nak dibandingkan pada musim-musim lalu.

“Apa yang saya buat untuk pikat hati jurulatih adalah ketika dalam latihan, contohnya kalau saya tidak diturunkan beraksi sekalipun, saya tetap akan tunjuk kesungguhan dalam latihan dan InsyaAllah saya akan teruskan momentum ini untuk beraksi dengan lebih baik”, katanya.

Pemain berusia 27 tahun ini juga pernah beraksi bersama UKM FC pada musim 2019 sebelum kembali dipanggil menyertai Melaka United pada musim lalu.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: