Bola Sepak Komentar

Magis 100 tahun Piala Malaysia, lapan pasukan terbaik mula atur strategi


Oleh: JJFIRDAUS

EMPAT perlawanan suku akhir TM Piala Malaysia 2021 yang bakal bermula Ahad ini pastinya menjadi tumpuan semua penyokong bola sepak tempatan terutama penyokong lapan pasukan yang bertanding.

Lapan pasukan iaitu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman, Selangor, Kuala Lumpur City, Terengganu FC, Sarawak United, Melaka United dan Sabah bakal bertarung untuk tiket ke separuh akhir.

Tumpuan para penyokong pastinya terarah kepada pertembungan JDT dan Kedah yang bakal memulakan cabaran pusingan pertama di Stadium Darul Aman hujung minggu ini.

Ulangan final Piala Malaysia 2019, ramai penyokong menganggap kedua-dua pasukan ini bertemu terlalu awal. Ini terjadi apabila Kedah gagal muncul sebagai juara Kumpulan C manakala JDT dengan mudah mendominasi Kumpulan D dengan rekod tanpa kalah.

Di atas kertas, JDT pastinya menjadi pilihan tetapi Kedah pastinya akan menggunakan kelebihan bermain di hadapan penyokong fanatik sendiri untuk mencipta kejutan. Ini kali pertama Kedah bakal bermain dengan penyokong selepas stadium kembali dibuka.

Aidil Shahrin Sahak masih mencari kemenangan pertama peribadi keatas JDT dan pastinya beliau mahu memastikan JDT tidak membawa pulang kelebihan gol tempat lawan kerana semua sedar bukan mudah bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim dalam pertemuan timbal balik.

Derbi Lembah Klang juga menarik untuk disaksikan kerana sesiapa yang menang akan memegang gelaran ‘King of Klang Valley’ dan membolehkan para penyokong mempunyai sebab untuk mendabik dada.

Kuala Lumpur City kini berada dalam prestasi cemerlang apabila berjaya menjuarai Kumpulan A dengan mengenepikan cabaran Penang FC dan Pahang yang disebut sebagai pilihan sebelum kejohanan.

Kuala Lumpur City FC

Pemenang 33 kali Piala Malaysia, Selangor pula pastinya mahu menbuktikan sesuatu kepada para penyokong yang mereka masih sebuah skuad yang bagus dan mampu menidakkan kebangkitan Kuala Lumpur untuk layak ke separuh akhir.

Nostalgia Stadium Merdeka dapat dirasakan apabila kedua-dua pasukan ini bakal berentap di Petaling Jaya dan Cheras untuk menentukan wakil Lembah Klang mana yang layak ke separuh akhir.

Wakil Pantai Timur, Terengganu FC pula dilihat sebagai pilihan dalam pertemuan dengan Sarawak United. Anak buah E.Elavarasan yang dibelenggu kelewatan pembayaran gaji pastinya akan sedikit sebanyak menjejaskan persembahan di dalam padang.

Nafuzi Zain pastinya mahu membawa Terengganu lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia tahun ini dan mahu menamatkan kemarau kemenangan piala yang sudah lama tidak dikecapi oleh para penyokong Terengganu.

Terengganu FC

Namun begitu, Sarawak United yang juga naib juara Liga Premier sudah tentu mahu membuktikan bahawa kejayaan layak ke suku akhir bukanlah nasib sebaliknya mereka sememangnya mempunyai skuad yang mantap dan mampu bersaing.

Dalam satu lagi pertemuan, Melaka United bakal berkunjung ke Stadium Likas Kota Kinabalu melayan Sabah dalam satu perlawanan yang pastinya menarik. Melaka United melakar kejutan apabila muncul juara Kumpulan C sekaligus berjaya mengelak JDT dan Zainal Abidin Hassan pastinya mahu mengulangi kejayaan layak ke final Piala Malaysia.

Enam mata penuh dalam dua perlawanan terakhir kumpulan memastikan Sabah muncul pasukan terakhir layak ke suku akhir. Sabah yang semakin mendapat rentak di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dilihat sebagai pasukan ‘underdog’ dan pastinya akan bermain tanpa tekanan.

Sabah FC

Siapakah yang bakal layak ke separuh akhir? Melihat pada prestasi semasa, JDT, Terengganu FC, Kuala Lumpur City dan Melaka United dilihat mempunyai kelebihan terhadap lawan masing-masing.

Namun bola itu bulat, apa sahaja boleh terjadi dalam bola sepak. Mari penuhkan venue-venue yang terlibat dan berikan sokongan kepada pasukan kesayangan anda. Inilah magis 100 tahun Piala Malaysia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: