Bola Sepak

Elavarasan macam biasa tetap merendah diri


Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Sarawak United FC (SUFC), E Elavarasan terus merendah diri selepas berjaya membawa pasukannya ke pentas suku akhir Piala Malaysia 2021 susulan kejayaan 2-1 mengatasi Sri Pahang FC, malam tadi.

Tiga mata diraih pasukan pelawat itu meletakkan mereka ditangga kedua dengan 10 mata manakala Sri Pahang FC (6 mata) dikedudukan ketiga selepas lima perlawanan peringkat Kumpulan A.

Ujarnya, tuah sebenarnya berpihak kepada Sarawak United untuk membawa pulang tiga mata berharga memandangkan Sri Pahang FC juga beraksi cemerlang.

“ Dari awal lagi Sri Pahang bermain lebih baik malah mereka berjaya mengejutkan kami dengan gol awal tetapi mujur kami dapat menyamakan kedudukan melalui Sandro.

“ Gol penyamaan itu memberikan motivasi kepada pemain biarpun secara keseluruhan permainan dikuasai sepenuhnya oleh Sri Pahang.

“ Mungkin apabila selepas kedudukan 1-1 dan kita juga dalam situasi tidak mahu kalah kerana situasi itu akan berikan kelebihan kepada tuan rumah jika menang, maka kita lebih banyak bertahan.

“ Saya boleh katakan kami bernasib baik kerana dapat menjaringkan gol selepas 40 minit bertahan di separuh kedua dan melalui satu sahaja serangan balas, kami mendapatkan satu kemenangan penting, ” katanya.

Pada aksi di Stadium Darul Makmur malam tadi, dua gol Sarawak United, masing-masing satu dijaringkan oleh Sandro Da Silva dan Abdul Rahim Abdul Razak pada minit ke-31 dan 90 manakala gol tunggal Sri pahang dijaringkan oleh Kenny Athiu pada minit ke-13.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: