Bola Sepak

JDT teruskan rentak kemenangan


Oleh : SUBKHI SUDARJI

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan D selepas mengatasi Petaling Jaya City FC, 2-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Walaupun sudah sah melayakkan diri ke pusingan suku akhir dan bergelar juara peringkat kumpulan, anak didik Benjamin Mora terus mempamerkan aksi konsisten untuk meraih tiga mata penuh.

Pada aksi yang berlangsung sebentar tadi, JDT terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan V Ruventhiran selepas dia berjaya merampas bola dari kaki Adam Nor Azlin sebelum melakukan rembatan jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-11.

Namun jaringan itu hanya bertahan tiga minit apabila Bergson Da Silva menyamakan kedudukan buat JDT dengan menyudahkan sepakan penalti susulan Arif Aiman Hanapi dijatuhkan pertahanan lawan.

Asakan bertali arus JDT yang juga juara bertahan Piala Malaysia membuahkan hasil apabila Mauricio Nascimento meledak gol kedua Harimau Selatan pada minit ke-29.

JDT turut mendapat beberapa peluang pada babak kedua, namun keputusan 2-1 itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan yang menyaksikan JDT mengumpul 15 mata selepas meraih kemenangan bersih dalam lima perlawanan peringkat kumpulan.

PJ City yang menghuni tangga kedua perlu membuat perhitungan dengan Sabah FC di Stadium Likas, Selasa ini bagi merebut satu lagi slot ke suku akhir selepas mereka terikat lima mata.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: