Bola Sepak

Tiada pemotongan gaji Brendan bagi 2021


Brendan mengakui gajinya masih mengikut kontrak 2021. Foto: IG BrendanGan

SEMALAM di media sosial ‘kecoh’ dengan pendedahan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai isu gaji pemain Selangor, Brendan Gan yang berdepan dengan kanser.

Difahamkan Tunku Ismail berkongsi maklumat bahawa gaji Brendan itu akan dipotong sebanyak 50 peratus.

Susulan daripada itu, Brendan yang didianogsis mengalami kanser testis Julai lalu tampil menafikan pendedahan tersebut, malah memberitahu Selangor FC sentiasa memenuhi keperluan berdasarkan kontraknya.

“Saya sudah melihat dan membaca mengenai apa yang diperkatakan di media sosial dan saya lihat perkara ini boleh ditakrifkan dalam pelbagai cara.

“Tetapi saya mahu menjelaskan bahawa Selangor mematuhi kontrak 2021 saya sepenuhnya.

“Ayuh fokus untuk perlawanan penting pada malam ini dan menyokong barisan pemain untuk membawa pulang tiga mata,” tulis pemain berusia 33 tahun ini di Twitter pada Rabu.

Malah Selangor FC juga turut mengeluarkan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dan memaklumkan pihaknya sentiasa mematuhi setiap peruntukan yang sudah ditetapkan dalam kontrak pemain.

“Hari ini Selangor FC banyak menerima pertanyaan berkenaan status pemain kami yang sedang melawan kanser.

“Di sini kami ingin menjelaskan bahawa pihak kelab sudah memenuhi semua kewajipan seperti yang dipersetujui di dalam kontrak dari awal hingga hari ini dan kami akan terus melakukannya sehingga tamat mana-mana kontrak sedia ada.

“Untuk sebarang urusan kontrak masa hadapan, adalah sedia maklum bahawa pengaturan baharu akan dibuat atas persetujuan bersama.

“Di Selangor FC, kami sentiasa memberikan sokongan yang terbaik dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua pemain kami. Kita kalah bersama, kita menang bersama,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Takkanlah kena kanser awak nak potong gaji dia 50 peratus?” – TMJ

Penjelasan Brendan dan Selangor FC ini pastinya melegakan seluruh penyokong-penyokong setia Selangor FC yang menganggap pendedahan TMJ itu adalah tidak betul dan lebih kepada sikap ‘dengki’ kepada kelab gergasi Lembah Klang ini.

Hakikat sebenarnya, ‘kalau tiada angin pokok takkan bergoyang’. Sesekali isu yang timbul ini ada baiknya kerana ia akan memberi isyarat awal berkaitan kebajikan seseorang pemain.

Lebih kurang sebulan lagi tirai 2021 bakal berlabuh, mungkinkah tahun depan isu pemotongan gaji Brendan akan ‘diusik’ lagi?


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: