
Oleh: JJFIRDAUS
KEJUARAAN Formula 1 musim 2021 memasuki babak akhir dengan berbaki lima perlumbaan yang menyaksikan pertarungan hebat di antara juara bertahan, Lewis Hamilton dan Max Verstappen.
Lima perlumbaan dalam tempoh enam minggu ini bakal bermula dengan Grand Prix Mexico hujung minggu ini dengan Max Verstappen kini dihadapan mendahului Hamilton dengan 12 mata.
Verstappen sedang mengejar peluang bergelar juara dunia F1 buat pertama kali manakala Hamilton cuba mempertahankan kejuaraan sekaligus mencipta sejarah kejuaraan kelapan dalam kariernya.

Musim Formula 1 2021 ini bakal diakhiri dengan lima perlumbaan yang akan berlangsung di tiga benua iaitu Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Timur Tengah dan bakal melawat dua litar baharu.
Mexico, Brazil, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu bakal menjadi saksi pertembungan epik antara dua pelumba terbaik ini dan juga perebutan kejuaraan pengeluar dengan Mercedes mendahului Red Bull dengan 23 mata.
Red Bull Racing dilihat sering mempunyai kelebihan di Litar Hermanos Rodriguez yang terletak di tengah ibu kota Mexico City ini dengan Verstappen muncul juara pada 2017 dan 2018.
Selain itu, tahun ini Red Bull juga mempunyai pelumba kesayangan rakyat Mexico, Sergio Perez yang pastinya akan lebih bersemangat berlumba di hadapan penyokong fanatik dan kemenangan di tempat sendiri pastinya akan menjadi memori terindah buat mana-mana pemandu.

Litar Hermanos Rodriguez ini berada 2,250 meter dari aras laut dengan angin yang tipis memberikan kuasa yang berlainan kepada komponen enjin turbo yang sering dilihat lebih sesuai dengan jentera Red Bull Honda.
Namun begitu, Mercedes juga pernah muncul juara sebanyak tiga kali di litar ini menerusi Nico Rosberg pada 2015 manakala Hamilton memenangi perlumbaan pada tahun 2016 dan 2019.
Bagaimanapun, seperti mana yang dapat dilihat ketika perlumbaan sebelum ini di Litar COTA Amerika Syarikat, kejayaan lalu tidak sedikit pun memberi kelebihan dalam perebutan kejuaraan yang cukup menarik tahun ini.
Mercedes muncul sebagai juara kategori pengeluar tujuh tahun berturut-turut tidak pernah dicabar sepenuhnya oleh pasukan lain seperti Ferrari sebelum ini. Tetapi Red Bull nampaknya bakal mengheret mereka ke perlumbaan terakhir dalam era enjin hybrid-turbo.
Siapakah yang bakal menjadi juara Grand Prix Mexico hujung minggu ini. Segalanya akan terjawab dalam satu lagi perlumbaan yang dijangka epik yang pastinya memberikan keterujaan kepada peminat sukan permotoran ini.
Add Comment