Bola Sepak

Malaysia kekal rekod bersih layak ke Piala Asia B-23 tahun depan!


Oleh: JJFIRDAUS

PASUKAN Bawah 22 Tahun Malaysia automatik layak ke Piala Asia B-23 2022, Uzbekistan selepas terikat 0-0 dengan Thailand sekaligus muncul juara Kumpulan J pada Ahad.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar Mongolia itu menyaksikan Brad Maloney melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Azam Azmi di barisan pertahanan dan Azhad Harraz mengepalai barisan serangan dengan Luqman Hakim bermula di bahagian sayap.

Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati dengan beberapa pemain lawan mengalami kecederaan akibat keadaan padang tiruan yang keras ditambah cuaca yang sejuk.

Skuad negara banyak menguasai bahagian tengah dengan Thailand dilihat tertekan dan gagal mencipta sebarang peluang untuk menguji barisan pertahanan skuad negara untuk separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Bermula babak kedua, Malaysia masih mengekalkan corak tekanan kepada barisan Thailand dan banyak menguasai permainan terutama di bahagian tengah.

Malaysia berpeluang mendahului pada minit ke-63 selepas Harith Haikal menanduk bola hantaran sepakan sudut tetapi sayangnya sekadar singgah di palang gol. Ini adalah peluang terbaik yang diperolehi barisan negara sepanjang perlawanan ini.

Maloney turut melakukan beberapa pertukaran dengan Quentin Cheng, Syafik Ismail, Umar Hakeem dan Hakimi Ismail dibawa masuk untuk menambah sengat di bahagian serangan.

Pemain-pemain Thailand cuba menekan pada penghujung perlawanan tetapi masih gagal untuk memberikan keadaan bahaya kepada barisan pertahanan negara yang dilihat bertahan dengan penuh disiplin.

Aksi pemain negara ketika bertemu Thailand pada Ahad. Foto: AFC

Azri Ghani juga bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan Thailand bagi memastikan kedudukan 0-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Malaysia berjaya menempah tempat ke Kejohanan Piala Asia B23.

Tahniah buat Brad Maloney dan kesemua pemain yang berjaya layak secara automatik dan apa yang lebih bangga mereka tidak tewas dan tidak dibolosi sepanjang kempen kelayakan ini.

Piala Asia B-23 di Uzbekistan bakal berlangsung dari 1-19 Jun 2022 yang menyaksikan 16 pasukan Bawah 23 terbaik Asia bakal berentap merebut trofi yang kini disandang Korea Selatan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: