Bola Sepak

Shahrel Fikri kembali beraksi, sumbat gol kelima Selangor FC benam Kuching City


Oleh: JJFIRDAUS

SELANGOR FC berjaya bangkit dari kekalahan apabila berjaya menewaskan Kuching City FC 5-1 dalam aksi saingan Kumpulan B TM Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan padang yang sedikit licin ekoran hujan lebat sejak tengah hari di Lembah Klang namun ianya tidak melunturkan semangat kedua-dua pasukan dan penyokong yang hadir.

Kehadiran semula penyokong seakan memberikan aura baharu kepada pemain-pemain Selangor FC yang berjaya mendahului seawal 26 saat menerusi jaringan pemain antarabangsa Myanmar, Hein Htet Aung.

Berpunca dari hantaran lintang Jordan Ayimbila yang mengkucar-kacirkan pertahanan Kuching FC sebelum Danial Asri merembat tetapi ditampan penjaga gol sebelum Htet Aung menyambut bola muntah untuk meletakkan Selangor FC di hadapan.

Aksi pemain Selangor FC dan Kuching City malam ini. Foto: SelangorFC

Walaupun ketinggalan, Kuching City mengekalkan corak permainan menyerang dan beberapa kali dilihat berjaya mengancam kubu Selangor dengan barisan tengah berjaya menguasai permainan.

Selepas beberapa gerakan menarik, akhirnya Kuching City berjaya mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-10 selepas bola terkena tangan Shivan Pillai dan mudah disempurnakan Michael Ijezie untuk mengikat kedudukan 1-1.

Kedua-dua pasukan bertukar-tukar serangan dengan Selangor beberapa kali mencuba tetapi masih buntu untuk menambah jaringan dan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Selangor banyak mengasak pada babak kedua dan akhirnya berjaya kembali dihadapan pada minit ke-60 menerusi jaringan Danial Asri yang berjaya mengambil kesilapan penjaga gol Kuching City.

Bola hantaran lintang Jordan Ayimbila dilihat tidak mendatangkan bahaya tetapi Iqbal Suhaimi gagal membaca pergerakan bola itu hingga terlepas dan Danial Asri mudah menolak masuk untuk Selangor mendahului 2-1.

Danial Asri sememangnya menjadi duri dalam daging buat Kuching City FC apabila dia berjaya mendapatkan penalti selepas diasak Mazwendi Zakaria dan kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin mudah menyempurnakan penalti untuk kedudukan 3-1 pada minit ke-66.

Karsten Neitzel melakukan pertukaran dengan memasukkan penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri pada minit ke-70 bersama-sama Sean Selvaraj untuk menambah sengat di bahagian serangan.

Hasilnya pada minit ke-80 Danial Asri sekali lagi meletakkan nama dalam senarai penjaring selepas mudah menolak masuk sekali lagi hasil lantunan dari Iqbal yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas untuk kedudukan 4-1.

Dua pemain Selangor FC cuba menghalang pemain Kuching FC pada aksi Piala Malaysia malam ini. Foto: SelangorFC

Di saat terakhir perlawanan, Shahril Fikri yang kembali beraksi selepas ‘berehat’ panjang berikutan kecederaan berjaya menambah derita Kuching City dengan gol kelima sekaligus menggembirakan 1,400 para penyokong yang hadir.

Dengan kemenangan ini, Selangor kini di tangga kedua Kumpulan B mengumpul enam mata dari tiga perlawanan, ketinggalan tiga mata dari pendahulu kumpulan, Terengganu FC.

Kuching City pula kekal di tangga terbawah terikat satu mata dengan Perak tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan. Kuching City akan menjadi tuan rumah kepada Selangor pada Rabu dalam misi mengutip kemenangan pertama dalam kempen Piala Malaysia 2021 ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: