Permotoran

Quartararo muncul juara dunia MotoGP 2021


Oleh: JJFIRDAUS

PELUMBA Yamaha, Fabio Quartararo muncul juara dunia MotoGP musim 2021 selepas pencabar terdekat, Pecco Bagnaia terjatuh ketika berbaki empat pusingan dalam Grand Prix Emilia Romagna di Litar Misano, Itali.

Marq Marquez berjaya menjuarai perlumbaan 27 pusingan itu dengan Pol Espargaro di tempat kedua dan Enea Bastianini berjaya menghuni posisi podium terakhir.

Berbaki dua perlumbaan musim ini, Quartararo sudah tidak mampu dicabar dan pelumba Perancis itu akhirnya berjaya mencatat nama selaku juara dunia selepas gagal muncul juara musim lalu.

Quartararo tidak menoleh kebelakang dan mempamerkan tunggangan hebat sepanjang musim dan berjaya memenangi lima perlumbaan di GP Doha, GP Portugal, GP Itali, GP Belanda dan GP Great Britain. Beliau juga muncul juara pertama buat Yamaha selepas kali terakhir dilakukan oleh Jorge Lorenzo pada 2015.

Perlumbaan ini juga dipenuhi emosi kerana ianya adalah perlumbaan terakhir legenda Valentino Rossi di Itali selepas beliau mengumumkan persaraan beliau dari arena MotoGP.

 

Dalam perlumbaan Moto2 pula, Sam Lowes muncul juara dengan Remy Gardner berjaya mempertahankan kedudukan pendahulu selepas pencabar terdekat, Raul Fernandez terkeluar dari saingan.

Gardner berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat ketujuh dan keputusan ini sekaligus mengheret kedudukan kejuaran ke GP Algarve dan mungkin berakhir di perlumbaan terakhir musim di GP Valencia.

Saingan Moto3 pula menyaksikan pelumba tuan rumah, Dennis Foggia muncul juara sekaligus merapatkan kedudukan kejuaraan kepada 21 mata di belakang pelumba Sepanyol, Pedro Acosta.

Tiada pelumba tempatan beraksi pada GP Emilia Romagna kali ini kerana Hafizh Syahrin mengambil keputusan untuk tidak beraksi kerana ingin berada disamping keluarganya yang dijangkiti Covid-19.

Perlumbaan seterusnya akan kembali ke Litar Algarve, Portugal kali ini untuk Grand Prix Algarve pada 7 November dengan kejuaraan Moto2 dan Moto3 menjadi pertaruhan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: