Permotoran

Farres Putra, Emil dan Farish sah ke Sepanyol


Farres Putra muncul juara keseluruhan sulung saingan FIM MiniGP Malaysia Series, hari ini.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

PENUNGGANG muda Selangor, Farres Putra muncul juara keseluruhan sulung saingan FIM MiniGP Malaysia Series selepas mengharungi cabaran getir pada pertarungan pusingan penutup di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang hari ini.

Kejayaan ini sekali gus membolehkannya memenangi hak untuk mewakili negara pada kejuaraan dunia, yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol bulan depan.

Mengiringi penunggang berusia 13 tahun ke kejuaraan berprestij di Sepanyol itu adalah Emil Idzhar dan Farish Hafiy, yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga keseluruhan dalam kejuaraan pembangunan bakat peringkat akar umbi anjuran bersama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan ZK Racing Team.

Selepas empat pusingan, Farres mengumpul 135 mata untuk mengatasi Emil, yang memungut 122 mata termasuk 40 mata daripada kejayaan muncul naib juara pada kedua-dua perlumbaan pada hari ini. Farish, yang cemerlang pada tiga pusingan terdahulu, mengutip secara keseluruhan 120 mata – enam mata di hadapan Adib Arsyad, yang amat cemerlang pada hari ini; tetapi nyata tidak mencukupi untuk meletakkan dirinya di kalangan tiga teratas dalam kejuaraan yang diadakan buat julung  kali tahun ini.

Diiktiraf oleh Dorna, pemegang hak penganjuran kejuaraan MotoGP Dunia dan Persekutuan Lumba Motosikal Antarabangsa (FIM), para pelumba bersaing menggunakan Ohvale 160cc, yang merupakan jentera perlumbaan keluaran Itali dan ditandingi oleh pelumba remaja berusia antara 11 dan 13 tahun.


Sementara itu, dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship 2021 untuk jentera Ohvale 110cc, penunggang cilik dari Terengganu, Adam Danial menamatkan dominasi Qabil Irfan hari ini; menggunakan sepenuhnya kerasian beliau di litar basah untuk mencipta kemenangan pertama buat dirinya dalam kejuaraan ini dengan mengungguli Perlumbaan 2.

Menang pada Perlumbaan 1 sebelum hujan membasahi bumi Sepang tengahari tadi, Qabil nyata kurang selesa bersaing di litar basah, gagal mendapat ‘holeshot’ pada permulaan perlumbaan walaupun bermula dari petak pertama seperti pada perlumbaan-perlumbaan lepas. Cuba untuk terus membayangi Adam, Qabil terjatuh dalam Lap 3 untuk akhirnya menamatkan perlumbaan kedua itu di tempat kelima dalam saingan yang dipendekkan kepada 10 lap.

Apapun, Qabil sudah meletakkan tanda aras yang cukup tinggi pada kejuaraaan ini dengan memenangi tujuh daripada lapan perlumbaan setakat ini untuk mengumpul 184 mata dengan berbaki dua pusingan lagi, yang dijangka berlangsung pada bulan Disember ini.

Kemenangan pada Perlumbaan 2, meletakkan Adam, yang muncul naib juara pada Perlumbaan 1, merapatkan diri kepada Qabil di persada kejuaraan dengan mengumpul 151 mata. Shah Putra di tempat ketiga dengan pungutan 119 mata setakat ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: