
EMPAT pemain kebangsaan bakal memperkuatkan skuad Bawah 22 tahun negara (B-22) bimbingan Brad Maloney bagi menghadapi saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 menentang Laos, Mongolia dan Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia dari 25 hingga 31.
Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Quentin Cheng (Penang FC) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) antara 23 pemain yang bakal menggalas cabaran tersebut.
Keempat pemain ini telah pun menyertai pasukan pada Isnin, 18 Oktober 2021 sejurus mereka selesai kuarantin selepas pulang dari tugasan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe di Amman, Jordan.
“Turut tersenarai, dua pemain baharu yang dipanggil ketika kem latihan pusat Fasa 2 berlangsung iaitu Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (Terengganu FC II) dan Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC 2).
“Seorang lagi pemain yang berada dalam senarai akhir 23 pemain itu ialah pemain berpangkalan di Jerman, Annil Vigneswaran (SGV Freiberg) yang akan terus menyertai pasukan setibanya di Ulaanbaatar nanti,” ujar FAM menerusi kenyataan media, sebentar tadi.
Tambahnya lagi, sembilan pemain dari kem latihan pusat Fasa 2 tidak berada dalam senarai akhir tersebut kerana masalah kecederaan iaitu Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Firdaus Ramli, Alif Mutalib dan Chia Ruo Han (Johor Darul Ta’zim II) serta K. Thivandaran (PJ City FC).
“Tidak tersenarai juga adalah penjaga gol Firdaus Irman Fadhil, Khairi Suffian Khaineyusri, Aidil Azuan dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (Selangor FC 2),” katanya.

Skuad kendalian Maloney ini akan berlepas ke Ulaanbaatar pada Rabu, 20 Oktober 2021 yang mana Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober 2021 (3.00 petang) diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober 2021 (11.00 pagi) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 (11.00 pagi) bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.
Ketiga-tiga perlawanan tersebut dijadual berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan.
Add Comment