Bola Sepak

Maloney akui skuad B-22 makin berani ‘pegang bola’ jumpa pasukan senior


Oleh: JJFIRDAUS/ Foto: IZARI ROSLI

KEMENANGAN skuad Bawah 22 negara menewaskan Penang FC dalam perlawanan persahabatan sebagai persediaan ke Kejohanan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2022 nyata memberikan suntikan moral kepada para pemain.

Jurulatih skuad Harimau Malaya B-22, Brad Maloney ternyata gembira dengan keputusan positif ini kerana ia secara langsung menaikkan semangat dan keyakinan para pemain.

“Saya melakukan penggiliran pemain dengan menampilkan lebih banyak muka baharu dan ianya memberikan lebih banyak kesan positif kepada pemain dan juga pasukan secara keseluruhan.

“Pada separuh masa pertama, walaupun kami ketinggalan, para pemain berani memegang bola lebih lama dan ianya adalah cabaran yang baik buat anak buah saya apabila menentang pasukan senior.

“Kemenangan ini sangat bagus buat para pemain kerana mereka menunjukkan pelbagai karektor dalam dua perlawanan persahabatan ini. Gol kedua yang dijaringkan adalah satu gol berpasukan yang cantik,” ujar Maloney.

Brad Maloney

Walaubagaimanapun, Maloney berpendapat bahawa masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan dia akan sentiasa meminta lebih daripada apa yang diberikan oleh para pemain dalam perlawanan ini.

Skuad Malaysia Bawah 22 ini akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Kedah Darul Aman FC pada Isnin sebelum berlepas ke Mongolia.

Kejohanan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan J bersama tuan rumah, Mongolia, Thailand dan Laos.

Juara setiap kumpulan dan empat pasukan naib juara kumpulan terbaik akan layak ke pusingan akhir pada Jun 2022 bersama-sama pasukan tuan rumah, Uzbekistan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: