
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PENJAGA gol muda negara, Muhammad Azri Ab Ghani mendedahkan perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak penuh berliku sebelum berada di tahap sekarang.
Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 22 tahun ini antara empat penjaga gol yang dipanggil ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Brad Maloney menjalani latihan menjelang aksi kelayakan Piala Asia B-23 yang bakal berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 25 hingga 31 Oktober ini.
Mengimbas kembali perjalanan kariernya, Azri atau lebih mesra dipanggil Ayie memberitahu CAKAP SUKAN, dia sangat bersyukur kerana berjaya berada di tahap sekarang selepas menyusuri pelbagai dugaan sejak usia awal remaja lagi.
“Dalam keluarga, hanya saya seorang sahaja yang aktif bola sepak, tetapi arwah ayah (Ab Ghani Samah) merupakan peminat bola sepak. Alhamdullilah semua memberi sokongan dengan pilihan saya untuk serius dalam sukan ini.

“Impian memulakan langkah membuak-buak, lebih-lebih lagi mendapat tawaran ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada usia 13 tahun, namun penghujung tahun saya ‘ditendang’ kerana tidak cukup tinggi.
“Saya dulu sangat pendek… jadi terpaksa balik ke kampung dengan penuh kecewa. Setahun kemudian ayah meninggal dunia kerana sakit jantung. Tambahlah lagi kesedihan saya ketika itu.
“Namun saya tidak berputus-asa, saya sambung bersekolah di Sekolah Menengah kebangsaan Putra sehingga tamat tingkatan lima.
“Selepas SPM saya merantau ke Kuala Lumpur mencuba nasib dalam sesi pemilihan pemain pasukan bola sepak di PKNS dan Felda United.
“Alhamdullilah terpilih bersama Felda United selama tiga tahun dan secara langsung kerjaya pertama bergaji. Ketika ini memang saya bersyukur, sangat gembira kerana pada masa sama dengan pendapatan ini saya boleh membantu keluarga.
“Saya bukanlah dari keluarga senang, dan saya yakin pilihan saya untuk bergelar pemain bola sepak adalah tepat. Saya tidak tahu nak kerja apa lagi selain main bola sepak,” ujar yang kini mempunyai ketinggian 176 sentimeter.
Selain itu, arah kerjayanya bertukar ke pasukan lain selepas menimba pengalaman bersama Felda United.

“Saya terpaksa tinggalkan Felda kerana timbul beberapa isu dan ketika itu saya belum ada mana-mana pasukan lain untuk disertai.
“Tanpa membuang masa, saya minta tolong dengan jurulatih Afendi untuk mencari pasukan. Alhamdullilah dapat menyertai pasukan Kedah dan selepas setahun di Alor Star, saya berpindah ke Perak FC sehinggalah sekarang.
“Dan sekarang dapat panggilan untuk sertai skuad muda negara,” jelasnya yang pernah menyarung jersi negara bersama pasukan B-19 Tahun pada 2018.
Menurut Azri, dia akan menggunakan setiap peluang yang hadir dalam kariernya dengan sebaik-baiknya.
“Hanya satu tahap lagi dalam sasaran saya, iaitu ingin bersama pasukan Harimau Malaya. Namun saya tidak terlalu ‘push’ kerana ianya bukan mudah. Saya perlu buktikan diri saya di tahap yang terbaik.
“Saya masih lagi muda, dan akan menggunakan masa yang ada untuk mempelajari lebih mendalam ilmu bergelar penjaga gol terbaik.

“Malah kalau ada peluang juga saya ingin mencuba nasib di luar negara, sekurang-kurangnya di pentas Asean… langkah demi langkah.
“Saya memang bertekad mahu menjadi pemain bola sepak paling berjaya dan menjadi penjaga gol senior Farizal Marlias sebagai idola tempatan. Manakala David de Gea adalah pemain paling saya suka tengok. Setiap kali ada kelapangan, saya akan kaji cara dia beraksi, gerak tubuh dia, komunikasi di padang dan sebagainya.
“Manakala pemain pilihan sudah tentu Cristiano Ronaldo (Manchester United). Saya suka cara dia membawa diri, disiplin dalam kerjayanya,” ujar anak keempat daripada lima orang adik beradik ini.
[…] Begitupun mungkin tidak ramai yang tahu, pemain ini pernah dibuang dari sekolah kluster sukan terulung negara, Sekolah Sukan Bukit Jalil di awal dia mahu bertatih kerana tidak cukup tinggi sepertimana didedahkannya kepada Cakap Sukan. […]
[…] ARTIKEL BERKAITAN: Pernah ‘ditendang’ dari SSBJ gara-gara pendek, kini Azri ada misi tersendiri […]