Bola Sepak

B-22: Maloney akui jentera serangan perlu lebih tajam

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Azhad Harraz (kiri) menjaringkan gol buat pasukan serta memiliki peluang menambah jaringan.

Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

PENGENDALI Skuad Bawah 22 tahun negaa (B22) Brad Maloney menyifatkan pasukannya perlu memanfaatkan peluang yang dimiliki dengan jaringan untuk memastikan perlawanan berakhir dengan keputusan positif.

Tegasnya, dia sememangnya menjangkakan tentangan sengit berhadapan Negeri Sembilan FC yang merupakan juara Liga Perdana tetapi tetap gembira kerana banyak faedah diperoleh daripada perlawanan itu.

“Saya rasa kami bermula dengan baik dan kami mengawal perlawanan awalnya, terutamanya di babak pertama. Berjaya mendapatkan satu gol, kami mencipta beberapa peluang tetapi berkurangan pada babak kedua,” katanya ditemui media selepas perlawanan.

Pada aksi persahabatan di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya, USJ 5 , Subang Jaya, skuad B22 terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 walaupun berjaya memimpin perlawanan dengan kelebihan satu gol sepanjang 45 minit.

Gol tunggal skuad negara dijaringkan seawal minit ke-11 menerusi percubaan Azhad Harraz Arman yang gagal ditampan kemas penjaga gol Damien Chien.

Skuad B-22 kebangsaan berpeluang menambah beberapa jaringan dalam tempoh singkat, namun penyudah tumpul penyerang T Saravanan pada minit ke-36 serta minit ke-40 dan Azhad Harraz pada minit ke-37 menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

NSFC akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-46 selepas Alain Akono memanfaatkan kesilapan penjaga gol gantian, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya sebelum pemain tengah NSFC, R Barathkumar menjaringkan gol kedua pada minit ke-81 sekali gus menyelamatkan maruah pasukan.

Kesebelasan utama B22 yang diturunkan menentang NSFC.

Selepas ini skuad B-22 negara dijadual bertemu Penang FC pada Jumaat ini dan KDA FC, Isnin depan sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia B-23 2022 dari 25 hingga 31 Oktober ini.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J, akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun tahun depan.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: