Bola Sepak

Uzbekistan mudah sumbat lima gol, Baddrol ledak jaringan tunggal

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Baddrol (kanan) menjaringkan gol tunggal negara ketika aksi bertemu Uzbekistan.

Oleh: JJFIRDAUS

GOL tunggal Malaysia menerusi Baddrol Bakhtiar pada penghujung babak pertama tidak mampu mengelak skuad kebangsaan daripada ditewaskan Uzbekistan 1-5 dalam perlawanan persahabatan di Amman, Jordan.

Turun dengan beberapa perubahan, skuad negara tetap tampil dengan persembahan kurang meyakinkan apabila dibolosi dengan mudah oleh Uzbekistan yang kelihatan tenang dalam perlawanan ini.

Kualiti yang ada pada pasukan Uzbekistan sangat ketara dengan permainan hantaran pendek yang berjaya membelah benteng Malaysia yang hanya mampu melihat 3 gol menerusi tandukan dihasilkan.

Gol-gol Uzbekistan dihasilkan menerusi dua jaringan Dostonbek Khamdamov pada minit ke-17 dan 29 manakala Husain Norchaev menggegar gawang pada minit ke-33.

 

Penyokong setia negara gembira seketika apabila Baddrol Bakhtiar berjaya menjaringkan gol selepas gerakan menarik bermula dari Akram Mahinan yang mengumpan kepada Rizal Ghazali yang kemudiannya membuat hantaran lintang kepada Faisal Halim yang merembat terkena tiang.

Baddrol berada pada tempat dan masa yang betul untuk menolak bola masuk dan memberikan sinar kepada barisan kendalian Tan Cheng Hoe ini ketika tamat separuh masa pertama.

Babak kedua tidak banyak berubah dengan Uzbekistan dilihat mudah melepasi kawalan barisan pertahanan negara yang jelas bergelut untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Satu gol lagi ditambah pasukan lawan pada minit ke-68 apabila Ibrokhimkhalil Yuldashev merembat deras melepasi Khairul Fahmi selepas menerima hantaran satu dua.

Ketika perlawanan hampir tamat, Uzbekistan menambah derita Malaysia apabila menyumbat gol kelima menerusi Azizbek Amanov pada minit ke-88 sekaligus menjadikan kedudukan 5-1 sehingga tamat perlawanan.

Dua kekalahan dari perlawanan persahabatan ini perlu diambil serius oleh barisan kejurulatihan negara bagi memastikan satu skuad Harimau Malaya yang mantap dapat dibentuk bagi menghadapi kelayakan ke Piala Asia dan Piala AFF Suzuki hujung tahun ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: