
Oleh: SURYATI MOHD NOR
SPEKULASI pasukan Kuching City FC akan kembali ke laman sendiri pada aksi baki saingan Kumpulan B Piala Malaysia masih belum disahkan secara rasmi oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Mengulas ‘khabar angin’ tersebut, ketua jurulatih Kuching City FC Irfan Bakti Abu Salim memberitahu pasukannya sendiri tidak mendapat sebarang makluman.
“Saya ada dengar juga, cuma tidak boleh sahkan mengenainya. Mungkin pihak pengurusan sedang menguruskannya.
“Bagaimana pun jika benar kami akan kembali ke beraksi di laman sendiri, saya sangat gembira kerana sudah lama bermain di tempat orang.

“Bermain di hadapan penyokong sendiri sangat berbeza dan kami tidak merasainya lagi.
“Tetapi buat masa sekarang pasukan masih menjalani latihan di sini (Stadium Pasir Gudang),” jelasnya ketika dihubungi Cakap Sukan.
Sejak Ogos lalu, Kuching City FC terpaksa ‘menumpang’ Stadium Pasir Gudang ketika aksi Liga Perdana berlangsung berikutan kawalan penularan Covid-19, menyukarkan pasukan lawan dari Semenanjung.

The Cats itu mendapat kebenaran daripada pemilik stadium, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menggunakan stadium tersebut sebagai ‘home’ selepas percubaan meminta kebenaran beberapa stadium lain tidak mendapat kelulusan.
Kuching City FC dikatakan akan kembali ke Kuching bagi perlawanan keempat Piala Malaysia bertemu Selangor (3 Nov) dan aksi terakhir kumpulan menentang Terengganu FC (10 Nov).






Add Comment