Lain-Lain

RM10 juta diperuntuk bagi Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ismail Sabri Yaakob

Oleh: SUBKI SUDARJI/Foto: IZARI ROSLI

PELAN Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi lima teras, lapan objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif bakal diperkenalkan dalam usaha meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperuntukkan RM 10 juta untuk menjayakan pelaksanaan program berkenaan.

Beliau berkata, susulan itu Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini.

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

“Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan,” ujarnya ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2021 di Kementerian Belia dan Sukan, pagi Sabtu.

Ismail Sabri merasmikan Hari Sukan Negara 2021 di Kementerian Belia dan Sukan pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, pada masa sama, menyedari peri pentingnya pembangunan bakat-bakat sukan bagi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa, Program Talent Identification and Development yang dinamakan Program MyTID KPM-KBS melalui kerjasama rentas kementerian di antara KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (atau KPM) turut dilancarkan.

“Program MyTID KPM-KBS ini dianggarkan melibatkan seramai 500 orang guru tenaga penguji terlatih (dikenali sebagai Talent Eagle) serta sasaran penyertaan seramai 60,000 orang murid dari sekolah rendah (Tahun 1-6) yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.

“Program ini dijangka akan membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia 7 tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat,” katanya.

Katanya lagi, menyedari kepentingan sukan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara, KBS juga sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara.

“Pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif ini bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global.

“Pelan ini amat wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir 388.3 bilion dollar Amerika pada tahun 2020 dan dijangka terus positif berkembang dan mencecah 599.0 bilion dollar Amerika pada tahun 2025,” ujarnya.

Data yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (atau MITI) pada tahun 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan 430 juta ringgit bagi tujuan sukan dan riadah.

Secara keseluruhan, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, MyTID KPM-KBS dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk oleh KBS melalui Visi Sukan Negara 2030,” tegasnya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: