
KURANG seminggu sebelum Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima kunjungan Chelsea FC di Stadium Sultan Ibrahim, keterujaan terus memuncak selepas kelab Liga Perdana Inggeris itu mengesahkan senarai pemain yang akan dibawa bagi meneruskan
jelajah pra musim APAC mereka ke Malaysia.
Para penyokong kini berpeluang menyaksikan beberapa bintang utama Chelsea beraksi, termasuk Cole Palmer, João Pedro, Estêvão Willian, Liam Delap, Jamie Gittens, Levi Colwill, Wesley Fofana dan Romeo Lavia, apabila The Blues menamatkan jelajah pra musim lima perlawanan mereka dengan menentang juara bertahan Liga Super Malaysia pada 9 Ogos.
Pengumuman senarai pemain ini dibuat hanya beberapa hari selepas Chelsea memulakan kempen pra musim mereka di Australia dengan kemenangan 6-4 ke atas Western Sydney Wanderers.
Dalam perlawanan tersebut, João Pedro mencuri tumpuan apabila meledak hatrik pada babak kedua, manakala Jamie Gittens, Dário Essugo dan penyerang muda Dastan Satpayev turut mencatatkan nama sebagai penjaring.
Bagi JDT, perlawanan ini menjadi satu lagi peluang untuk menguji kemampuan mereka menentang salah sebuah kelab elit Eropah dan penyokong bola sepak di Malaysia pula, ini merupakan peluang pertama dalam tempoh lebih sedekad untuk menyaksikan Chelsea beraksi di luar Kuala Lumpur, selain menjadi kunjungan sulung The Blues ke Stadium Sultan Ibrahim.
Ketua Jurulatih Chelsea FC, Xabi Alonso, berkata kelab itu tidak sabar untuk kembali ke Malaysia, di mana The Blues terus menikmati sokongan luar biasa daripada para penyokongnya, sambil meneruskan persiapan menghadapi musim baharu.
“Saya tahu bahawa di Malaysia, Chelsea mempunyai penyokong yang sangat ramai dan sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa. Kami tidak sabar untuk berkunjung ke Johor.
“Ke mana sahaja kami pergi di seluruh dunia, kami sentiasa dapat melihat sokongan dan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Chelsea. Mereka sanggup berusaha untuk hadir menyaksikan perlawanan kami, dan kami amat menghargainya.”
Kunjungan Chelsea ke Malaysia merupakan destinasi terakhir dalam jelajah pra musim APAC kelab itu, yang turut merangkumi perlawanan di Sydney, Hong Kong dan Jakarta sebelum The Blues kembali ke England untuk melengkapkan persiapan menghadapi musim baharu LigaPerdana Inggeris.
Perlawanan antara Chelsea FC dan Johor Darul Ta’zim akan berlangsung pada jam 8.00 malam, Ahad, 9 Ogos 2026, di Stadium Sultan Ibrahim.






https://shorturl.fm/7ih0S